WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyatakan beliau akan menetapkan kumpulan Ikhwanul Muslimin sebagai pertubuhan pengganas asing, lapor media AS semalam, menurut Anadolu.
Trump berkata, ia akan dilaksana secepat dan setegas serta sekuat mungkin dan kini berada di fasa akhir sebelum boleh ditetapkan.
“Ia akan dilaksanakan dengan setegas dan sekuat mungkin. Dokumen akhir sedang disiapkan,” katanya ketika ditemubual oleh portal konservatif, Just the News.
Langkah tersebut dibuat susulan keputusan Gabenor Texas, Greg Abbott, yang sebelum ini mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin serta Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR), iaitu kumpulan advokasi hak sivil Muslim terbesar di AS sebagai pertubuhan pengganas asing dan jenayah transnasional.
Abbott turut mengarahkan siasatan terhadap dakwaan kewujudan mahkamah syariah, dengan menuduh beberapa tribunal di Utara Texas kononnya menyamar sebagai mahkamah sah dan mengeluarkan arahan yang bercanggah dengan undang-undang AS.
Susulan tindakan itu, beberapa kumpulan Muslim di AS telah memfailkan saman persekutuan pada Khamis lalu terhadap Abbott dan Peguam Negara Texas, Ken Paxton, bagi menghalang apa yang mereka sifatkan sebagai proklamasi tidak berperlembagaan dan berbaur fitnah terhadap CAIR cawangan Texas.
Pengarah litigasi CAIR, Lena Masri, berkata pertubuhan itu telah tiga kali berjaya menyaman dan menewaskan Greg Abbott apabila beliau cuba melanggar Pindaan Pertama dengan menghukum pengkritik kerajaan Israel.
CAIR-Texas dalam kenyataannya menegaskan mereka tidak akan sesekali gentar dengan kempen fitnah yang dilancarkan oleh ahli politik pro-Israel. -AGENSI










