WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) berdepan kekacauan perjalanan besar-besaran selepas kerajaan persekutuan menggantung operasi, menyebabkan pembatalan ribuan penerbangan dan gangguan di lapangan terbang seluruh negara.
Mulai Jumaat, syarikat penerbangan melaksanakan pengurangan sebanyak 10 peratus penerbangan di 40 kawasan bertrafik tinggi, selaras dengan arahan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) atas faktor keselamatan.
Menurut laman penjejakan FlightAware, lebih 650 penerbangan dibatalkan lebih awal pada Khamis dan jumlah itu dijangka terus meningkat.
American Airlines dalam kenyataan berkata, ia membatalkan kira-kira 220 penerbangan setiap hari, manakala Delta Airlines turut menangguhkan 170 penerbangan yang dijadualkan pada Jumaat.
CNN melaporkan Southwest Airlines turut membatalkan sekitar 100 penerbangan.
Penggantungan operasi kerajaan mengakibatkan puluhan ribu pengawal trafik udara, kakitangan keselamatan lapangan terbang dan pekerja persekutuan lain tidak menerima gaji, menyebabkan kekurangan tenaga kerja dan kelewatan operasi.
Pada Khamis, lebih 5,500 penerbangan dilaporkan lewat, dengan 160 pembatalan di seluruh negara.
Lapangan terbang utama di Boston dan Newark mengalami kelewatan purata lebih dua jam, manakala Chicago O’Hare dan Washington Reagan National melebihi satu jam.
FAA menjelaskan, langkah pengurangan penerbangan itu diambil sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden keselamatan yang lebih serius.
“Kami tidak akan menunggu sehingga masalah keselamatan benar-benar berlaku apabila tanda-tanda awal sudah jelas,” kata Pentadbir FAA, Bryan Bedford.
Langkah drastik ini diambil ketika AS bersiap menghadapi musim perjalanan paling sibuk tahun ini menjelang cuti Thanksgiving.
Media tempatan melaporkan, pengurangan penerbangan akan bermula sebanyak empat peratus pada Jumaat sebelum meningkat kepada 10 peratus dalam tempoh beberapa hari akan datang, melibatkan lapangan terbang utama seperti Atlanta, Denver, Houston, Los Angeles dan Newark.










