GAZA: Gencatan senjata di Gaza mungkin membawa sedikit kelegaan selepas serangan udara dan sekatan panjang Israel, namun kehidupan rakyat Palestin masih jauh daripada pulih.
Ketika bank-bank mula dibuka semula, penduduk berdepan satu lagi cabaran besar iaitu tiada wang tunai untuk digunakan.
Bank di seluruh Gaza yang kebanyakannya musnah bersama rumah, sekolah dan bangunan awam selepas dua tahun peperangan, mula beroperasi semula pada 16 Oktober, enam hari selepas pengumuman gencatan senjata.
Namun, suasana penuh harapan itu bertukar hampa apabila barisan panjang pelanggan pulang dengan tangan kosong.
“Tiada wang di bank, langsung tiada tunai,” kata Wael Abu Fares, 61, bapa kepada enam anak, ketika berdiri di luar Bank of Palestine.
Tunai amat penting bagi kebanyakan urusan harian di Gaza dari membeli makanan di pasar hingga membayar bil utiliti. Namun, Israel telah menyekat penghantaran wang tunai sejak serangan Hamas pada Oktober 2023.
“Bank dibuka, penghawa dingin berfungsi, tapi semua urusan hanya elektronik. Tiada deposit, tiada pengeluaran tunai,” jelas ahli ekonomi Gaza, Mohammad Abu Jayyab kepada Reuters.
Akibatnya, ramai penduduk terpaksa mendapatkan bantuan daripada peniaga tidak bertanggungjawab yang mengenakan caj tinggi untuk menukar wang digital kepada tunai antara 20 hingga 40 peratus daripada jumlah yang dikeluarkan.
Bagi ibu kepada tujuh anak, Iman Al-Ja’bari, situasi ini benar-benar memeritkan.
“Dulu urusan di bank tak sampai sejam. Sekarang, ambil masa dua tiga hari, ulang-alik beratur panjang. Akhirnya hanya dapat 400 atau 500 shekel (RM515-RM644). Dengan harga barang sekarang, apa yang boleh dibeli?” katanya.
Bagi sesetengah rakyat Gaza, kekangan ini membuka ruang rezeki kecil. Manal Al-Saidi, 40, mengambil upah membaiki wang kertas rosak untuk menampung kehidupan.
“Saya kerja, dapat 20 atau 30 shekel (RM25.77 – RM38.66). Cukuplah untuk beli roti, kacang untuk makan malam, falafel sekadar alas perut. Sayur pun tak mampu beli, yang penting boleh terus hidup,” katanya sambil mengelap helaian wang.
Ada juga yang kini bergantung pada pemindahan wang elektronik walaupun untuk barangan kecil seperti gula atau telur. Namun, peniaga mengenakan caj tambahan bagi setiap transaksi. -ARABNEWS










