PALM BEACH: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan pembinaan kelas baharu kapal perang Tentera Laut negara itu yang akan dinamakan sempena dirinya, satu langkah luar biasa memandangkan penghormatan sedemikian lazimnya diberikan selepas seseorang pemimpin meninggalkan jawatan.
Trump berkata, dua kapal perang kelas Trump akan dibina pada peringkat awal, namun jumlah berkenaan berpotensi ditambah pada masa hadapan.
Beliau menyifatkan kapal itu sebagai antara kapal peperangan permukaan paling berkuasa dan terbesar pernah dimiliki AS.
Pengumuman tersebut dibuat di kediamannya di Mar-a-Lago, Florida, bersama Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth; Setiausaha Negara, Marco Rubio dan Setiausaha Tentera Laut, John Phelan, dengan paparan imej kapal berteknologi tinggi yang dirancang.
Menurut Trump, kapal kelas Trump dijangka mempunyai berat antara 30,000 hingga 40,000 tan serta dilengkapi peluru berpandu, meriam dan senjata canggih yang masih dalam pembangunan termasuk laser dan peluru berpandu hipersonik.
Beliau turut memaklumkan kapal berkenaan mampu membawa senjata nuklear melalui peluru berpandu kruis yang dilancarkan dari laut, sekali gus meningkatkan keupayaan pencegahan strategik Tentera Laut AS.
Trump menegaskan pembinaan kapal itu bukan bertujuan menyasarkan China, sebaliknya sebagai langkah memperkukuh keselamatan AS secara menyeluruh, sambil menyatakan hubungan Washington dengan Beijing kekal baik.










