China kunci mulut mengenai projek hidroelektrik terbesar dunia

China kunci mulut mengenai projek hidroelektrik terbesar dunia

EMPANGAN Three Gorges dan talian transmisi elektrik di Yichang, China. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China kini dalam fasa membina sebuah projek tenaga hidro ‘gergasi’ bernilai AS$168 bilion (RM685 bilion) di kawasan Himalaya yang dijangka menjadi sistem janakuasa hidro terbesar di dunia.

Projek infrastruktur paling besar dan kontroversi itu dijangka menjana lebih banyak elektrik berbanding sistem lain di dunia, sekali gus menyokong keperluan tenaga China ketika negara tersebut mempercepat peralihan kepada kenderaan elektrik serta pembangunan model kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan kuasa tinggi.

Presiden China, Xi Jinping, menggesa projek tersebut dimajukan secara paksa, sistematik dan berkesan semasa lawatan yang jarang berlaku awal tahun ini ke Tibet.

Wilayah itu kekal berada di bawah kawalan ketat Beijing, yang menegaskan pembangunan ekonomi dan kestabilan sebagai keutamaan.

Pakar menjangkakan sistem tenaga hidro yang dibina di bahagian hilir Sungai Yarlung Tsangpo di Tibet, menjadi satu kejayaan kejuruteraan luar biasa dan belum pernah dilaksanakan sebelum ini.

Dengan memanfaatkan penurunan ketinggian 2,000 meter dengan pembinaan terowong merentasi gunung, projek tersebut membolehkan China memanfaatkan sungai utama di wilayah yang dikenali sebagai ‘menara air Asia’, ketika kerajaan di seluruh dunia semakin menumpukan perhatian terhadap keselamatan sumber air.

Projek itu berpotensi membantu usaha global memperlahankan perubahan iklim dengan menyokong China, kini pengeluar karbon terbesar dunia, untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga berasaskan arang batu.

Namun, pembinaannya juga boleh mengganggu ekosistem yang jarang disentuh serta kawasan kediaman nenek moyang penduduk asli.

Puluhan juta penduduk di India dan Bangladesh turut bergantung kepada sungai di bahagian hilir, dengan pakar menyatakan potensi kesan terhadap ekosistem, termasuk perikanan serta pertanian, masih belum dikaji secara menyeluruh.

Media di India sudah melabelkan projek itu sebagai potensi ‘bom air’, dan kedudukan berdekatan sempadan China-India yang dipertikaikan, menjadikannya berisiko mencetuskan ketegangan dalam pertikaian wilayah yang berlarutan antara dua kuasa nuklear tersebut.

SISTEM YANG KOMPLEKS

Walaupun kepentingannya besar, projek itu masih diselebungi kerahsiaan, sekali gus menimbulkan banyak persoalan mengenai perancangan yang mempamerkan keupayaan teknikal China serta dorongannya ke arah tenaga bersih dan pada masa sama mencerminkan kekurangan ketelusan, termasuk bagi projek yang membawa kesan meluas.

Berdasarkan rujukan dan maklumat sumber CNN, petunjuk mengenai reka bentuk projek itu menunjukkan satu sistem yang kompleks.

Ia berkemungkinan merangkumi empangan dan takungan di sepanjang Sungai Yarlung Tsangpo, selain rangkaian stesen janakuasa hidro bawah tanah yang dihubungkan melalui terowong, memanfaatkan tenaga apabila bahagian sungai dialihkan membuat penurunan ketinggian yang curam.

“Ini adalah sistem empangan paling canggih dan inovatif yang pernah dibina di dunia. Namun, ia juga paling berisiko dan berpotensi paling bahaya,” kata Pengarah Program Tenaga, Air dan Kelestarian di Stimson Center di Washington, Brian Eyler.

China tidak bersetuju dengan pandangan itu, dengan Kementerian Luarnya menegaskan projek tersebut melalui kajian mendalam selama beberapa dekad dan melaksanakan langkah menyeluruh bagi keselamatan kejuruteraan serta perlindungan ekologi bagi memastikan ia tidak menjejaskan kawasan hilir.

“Sejak peringkat persediaan awal dan permulaan rasmi projek, China sentiasa mengekalkan ketelusan berkaitan maklumat penting dan saluran komunikasi dengan negara-negara di hilir.

“Seiring kemajuan projek, Beijing akan berkongsi maklumat perlu dengan masyarakat antarabangsa serta memperkukuh komunikasi dan kerjasama dengan negara-negara di hilir,” kata kementerian itu.

Dikenali sebagai sungai utama tertinggi di dunia, Sungai Yarlung Tsangpo mengalir dari sebuah glasier di Himalaya, merentasi dataran tinggi yang menjadi tempat penganut agama Buddha Tibet, sebelum menuju ke bahagian paling selatan negara itu.

Satu bahagian sungai tersebut, yang terletak berhampiran sempadan de facto Tibet dengan sebuah negeri di India yang dituntut oleh China, sejak sekian lama menarik perhatian kerana potensi penjanaan kuasanya.

MAKLUMAT REKA BENTUK TERHAD

Kini, imej satelit, dokumen syarikat yang boleh diakses awam, dan hantaran media sosial dari kawasan itu yang dikaji oleh CNN menunjukkan pelbagai kerja sedang dijalankan.

Ini termasuk membina dan melebar jalan, pembinaan jambatan, menyediakan tempat simpanan bahan letupan, menambah liputan telefon bimbit serta memindahkan penduduk kampung, untuk menyediakan kawasan bagi pembinaan projek yang secara rasmi bermula pada Julai.

Dokumen rasmi sering merujuk kepada projek tersebut menggunakan inisial Rom ‘YX’, untuk menandakan singkatan bagi bahagian bawah Yarlung Tsangpo, tetapi ia memberikan maklumat terhad mengenai reka bentuknya.

Media kerajaan berkata, projek itu menggunakan kaeadah ‘meluruskan dan mengalihkan sungai’ melalui terowong serta merangkumi lima stesen janakuasa hidro bertingkat.

Simulasi berdasarkan maklumat yang dibuat bersama pakar dari Program Tenaga, Air, dan Kelestarian Stimson Center, menunjukkan projek itu mungkin melibatkan sistem luas yang terdiri daripada stesen janakuasa hidro, terowong, dan takungan.

Keseluruhan sistem itu boleh merentasi jarak 150 kilometer (km) dari stesen pertama hingga stesen terakhir.

Sistem ini akan bermula dengan sebuah takungan yang dibina oleh empangan di bandar Mainling, di mana Perdana Menteri China, Li Qiang, menghadiri majlis pecah tanah pada Julai.

Bagaimanapun, lokasi te­at bagi kelima-lima stesen janakuasa masih belum diketahui, begitu juga jumlah tanah yang akan ditenggelami takungan untuk membina sistem ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×