WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) menafikan dakwaan fail berkaitan pesalah seks, Jeffrey Epstein disunting bagi melindungi Presiden Donald Trump, ketika kritikan semakin memuncak susulan pendedahan dokumen yang hanya separa itu.
Mangsa-mangsa Epstein meluahkan kemarahan selepas sejumlah rekod kes terhadap pesalah seks itu dikeluarkan pada Jumaat, dengan banyak halaman dipadamkan dan foto disunting.
Timbalan Peguam Negara, Todd Blanche yang juga bekas peguam peribadi Trump mempertahankan tindakan Jabatan Kehakiman menegaskan kepada program terbitan NBC, pihaknya tidak memadam sebarang maklumat berkaitan Presiden AS itu.
Menurut beliau, keputusan untuk mengeluarkan satu imej yang memaparkan beberapa foto berkumpulan, termasuk sekurang-kurangnya satu gambar Trump, dibuat atas kebimbangan terhadap wanita-wanita dalam gambar tersebut.
Namun, Jabatan Kehakiman pada Ahad memuat naik semula foto berkenaan tanpa sebarang pengubahsuaian atau pemadaman selepas semakan mendapati tiada bukti mangsa Epstein dipaparkan.
Ahli perundangan Demokrat menuduh Trump mengingkari undang-undang yang mewajibkan pendedahan penuh semua fail berkaitan Epstein, yang mengumpul kekayaan besar dan bergaul dengan golongan elit dan terkenal.
“Ini semua tentang menutup perkara-perkara yang, atas apa jua sebab, Trump tidak mahu didedahkan kepada umum, sama ada melibatkan dirinya atau ahli keluarga serta rakan-rakannya,” kata
Ahli Kongres Demokrat, Jamie Raskin dalam rancangan State of the Union terbitan CNN.
Bahan yang dikeluarkan pada Jumaat turut merangkumi foto bekas Presiden Bill Clinton serta nama-nama terkenal lain seperti penyanyi Mick Jagger dan Michael Jackson.
Ahli Kongres Republikan, Thomas Massie, yang sekian lama mendesak pendedahan penuh fail berkenaan mendakwa 60 pertuduhan yang mengaitkan individu berprofil tinggi tidak didedahkan.
Sekurang-kurangnya satu fail yang dikeluarkan mengandungi berpuluh-puluh imej yang dipadam, memaparkan individu separuh bogel.
Foto-foto lain yang sebelum ini tidak pernah didedahkan menunjukkan bekas Putera Britain, Andrew, berbaring di atas paha lima wanita.
Gambar lain memaparkan Clinton bersantai di dalam tab mandi panas dengan sebahagian imej dipadam, serta berenang bersama seorang wanita berambut gelap yang dipercayai merupakan pembantu Epstein, Ghislaine Maxwell.
Epstein ditemui tidak bernyawa di Pusat Tahanan Metropolitan, New York pada 10 Ogos 2019 ketika sedang menunggu perbicaraan.











