TEL AVIV: Pihak berkuasa Israel mengeluarkan arahan melarang askar simpanan yang pernah berkhidmat dalam tentera Israel (IDF) daripada membawa senjata peribadi, susulan kebimbangan terhadap peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan anggota tentera.
Menurut laporan media Israel, larangan itu turut meliputi penugasan semula askar simpanan yang telah dibebaskan ke unit tempur lain.
IDF menjelaskan keputusan tersebut bersifat langkah berjaga-jaga sementara bagi membolehkan askar simpanan mendapat masa untuk berehat dan pulih selepas melalui tempoh yang sukar dan penuh tekanan. Permohonan individu untuk membawa senjata akan dipertimbangkan secara kes demi kes.
Langkah itu dibuat selepas laporan Pusat Penyelidikan dan Maklumat Knesset menunjukkan peningkatan ketara dalam kes bunuh diri di kalangan tentera Israel khususnya askar simpanan sejak tercetusnya pembunuhan beramai-ramai di Gaza pada Oktober 2023.
Antara Januari 2024 hingga Julai 2025, laporan tersebut merekodkan 279 cubaan bunuh diri dalam kalangan anggota tentera, bersamaan tujuh cubaan bagi setiap kematian sebenar.
Sebanyak 21 peratus daripada kes bunuh diri dalam beberapa tahun kebelakangan ini melibatkan askar simpanan, angka yang mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan pegawai tentera dan kesihatan mental.
Keputusan Rabinat itu mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat dalam institusi keselamatan Israel terhadap kesan psikologi akibat konflik berpanjangan serta panggilan semula berulang terhadap pasukan simpanan. -AGENSI










