HANOI: Sekurang-kurangnya lima orang maut di Vietnam selepas Taufan Kalmaegi melanda kawasan tengah negara itu semalam, hanya beberapa hari selepas ribut berkenaan mengorbankan 188 nyawa di Filipina.
Menurut Kementerian Alam Sekitar Vietnam, taufan berkuasa tinggi itu membadai wilayah Gia Lai dengan kelajuan angin mencecah 149 kilometer sejam, menyebabkan kemusnahan besar kepada kediaman penduduk dan infrastruktur awam.
“Bumbung rumah saya diterbangkan angin. Kami bernasib baik kerana selamat, tetapi taufan ini amat dahsyat, banyak pokok tumbang. Mujur bot saya masih utuh,” kata Nguyen Van Tam, 42, seorang nelayan di Gia Lai.
Laporan awal menunjukkan 57 rumah runtuh sepenuhnya, manakala hampir 3,000 kediaman lain rosak atau hilang bumbung. Sebanyak 11 bot dan kapal tenggelam, manakala usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh anggota tentera serta pasukan kecemasan.
Di bandar pantai Quy Nhon, wartawan AFP melaporkan pasukan penyelamat bekerjasama dengan penduduk tempatan untuk membersihkan pokok tumbang dan mengutip kepingan zink yang diterbangkan angin.
Syarikat Tenaga Negara Vietnam memaklumkan, kira-kira 1.6 juta pengguna terputus bekalan elektrik, namun satu pertiga kawasan berjaya dipulihkan pada pagi Jumaat.
Taufan Kalmaegi yang kini bergerak pantas ke arah Laos dengan kekuatan yang semakin lemah masih membawa hujan lebat di kawasan tengah Vietnam. Jabatan Kaji Cuaca Kebangsaan turut memberi amaran Thailand bakal berdepan hujan lebat dan banjir bermula hari ini.
Taufan itu sebelum ini membadai pulau-pulau Cebu dan Negros di Filipina, mengakibatkan banjir besar dan kemusnahan luar biasa.
Vietnam sebelum ini turut dilanda hujan luar biasa sejak akhir Oktober, menyebabkan 47 korban jiwa dan menenggelamkan kawasan bersejarah di Hue serta Hoi An, yang tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.











