ROM: Para saintis sekali lagi kebingungan apabila satu lingkaran cahaya merah misteri muncul di langit sebuah bandar kecil di Itali yang juga kejadian kedua dalam tempoh tiga tahun.
Satu imej menakjubkan merakamkan lingkaran aneh seakan UFO terapung di atas Possagno, sebuah pekan kecil di kaki Banjaran Alps Itali.
Gambar itu dirakam jurugambar Valter Binotto, yang menyaksikan struktur bercahaya itu berkelip–kelip di langit pada jam 10.45 waktu tempatan pada 17 November.
Peliknya, lingkaran tersebut kelihatan hampir sama dengan lingkaran cahaya (halo) merah yang turut dirakam Binotto di lokasi sama pada Mac 2023.
Halo tahun ini dianggarkan berdiameter 150 batu (200 kilometer) dan berada pada altitud sekitar 60 batu (100 kilometer).
Namun, Binotto tidak percaya ia ada kaitan dengan makhluk asing. Sebaliknya, fenomena tersebut berkemungkinan besar merupakan kejadian berkaitan kilat yang jarang berlaku, dikenali sebagai pancaran cahaya dan gangguan frekuensi sangat rendah disebabkan oleh sumber denyutan elektromagnet atau singkatannya, ELVEs.
Lingkaran bercahaya ini begitu jarang berlaku sehingga hanya ditemui Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) pada 1990–an, menjadikan kemunculan dua halo di bandar kecil yang sama sebagai sesuatu yang amat luar biasa.
Saintis percaya ELVEs dicetuskan apabila panahan kilat yang sangat kuat menghasilkan denyutan elektromagnet (EMP) yang bergerak ke lapisan atmosfera atas.
Denyutan ini kemudian berlanggar dengan ionosfera, kawasan atmosfera yang terletak antara 50 hingga 400 batu (80–644 kilometer) dari permukaan bumi.
Perlanggaran tersebut menyebabkan zarah nitrogen bercas menjadi teruja dan memancarkan cahaya merah, satu proses yang serupa dengan bagaimana sinaran matahari menghasilkan cahaya Aurora Borealis.
Namun, ELVEs amat sukar dirakam kerana fenomena ini hanya berlaku selama seperseribu saat iaitu 100 kali lebih pantas daripada masa yang diambil untuk berkelip mata. -AGENSI











