LONDON: Ribut yang diberikan nama wanita didakwa menyebabkan lebih banyak korban berbanding ribut menggunakan nama lelaki kerana orang ramai berasa kurang terancam dan kurang mengambil langkah berjaga-jaga.
Kajian tersebut mendapati secara purata, ribut yang mempunyai nama feminin mencatatkan angka kematian lebih tinggi berbanding ribut bernama maskulin.
Para penyelidik berpendapat kecenderungan itu berpunca daripada anggapan bahawa ribut dengan nama wanita lebih ‘lembut’ dan kurang menakutkan.
Isu tersebut dibangkitkan minggu ini oleh penulis sains, Andrada Fiscutean dalam audiosiar Unexpected Elements, yang merujuk kepada kajian diterbitkan pada 2014 oleh penyelidik dari Princeton dan Universiti Illinois.
“Mereka meneliti taufan yang melanda Amerika Syarikat (AS) antara 1950 hingga 2012. Hasilnya menunjukkan secara purata, ribut dengan nama wanita menyebabkan lebih banyak kematian.
“Teorinya, orang mungkin secara tidak sedar menganggap ribut bernama wanita kurang mengancam, lalu membuat persiapan yang lebih sedikit,” katanya.
Namun, beliau menegaskan dapatan itu agak rapuh kerana sebelum 1979 hanya nama wanita digunakan untuk menamakan ribut di AS, faktor yang menurut pengkritik boleh ‘memesongkan’ keputusan.
Selain itu, kematian akibat taufan semakin menurun sejak beberapa dekad lalu susulan ramalan cuaca yang lebih tepat, amaran awal yang lebih berkesan dan infrastruktur yang lebih kukuh.
Kajian 2014 itu menganalisis lebih enam dekad data kematian akibat taufan di AS dan mendapati ribut kuat dengan nama feminin cenderung mencatatkan korban lebih tinggi kerana dianggap kurang menggerunkan berbanding ribut bernama lelaki.
Akibatnya, penduduk di laluan ribut mungkin mengambil tindakan perlindungan yang lebih minima, sekali gus meningkatkan risiko kecederaan atau kematian.
Para penyelidik berkata, dapatan itu menunjukkan wujudnya kesan tidak disengajakan dalam amalan penamaan taufan mengikut jantina dan menekankan keperluan pihak berkuasa, ahli meteorologi, media serta orang awam menilai semula cara komunikasi dan persediaan menghadapi bencana dilakukan. – AGENSI










