LONDON: Pakar perubatan di United Kingdom (UK) memberi amaran mengenai peningkatan jumlah orang dewasa yang mengalami kerosakan hidung kekal akibat penggunaan kokain.
Menurut Agensi Jenayah Kebangsaan UK, rakyat Britain kini dianggarkan menggunakan sekitar 117 tan kokain setiap tahun, sekali gus mencerminkan peningkatan mendadak penggunaan dadah itu.
UK juga mencatat kadar penggunaan kedua tertinggi di dunia, dengan seorang daripada 40 orang dewasa bersamaan 2.7 peratus populasi dikenal pasti sebagai pengguna, menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah.
Namun pakar bedah memberi amaran risiko kerosakan hidung, termasuk kehilangan sebahagian struktur hidung, turut dialami pengguna bukan tegar yang hanya mengambil kokain secara sesekali.
Thomas Jacques, pakar bedah telinga, hidung dan tekak di Cadogan Clinic, London, berkata fenomena yang dikenali sebagai “coke nose” berlaku apabila aliran darah ke septum berkurang sehingga menyebabkan tisu mati dan terbentuknya lubang.
Katanya, kerosakan itu tidak hanya berlaku dalam kalangan golongan profesional berpendapatan tinggi yang sering dikaitkan dengan penggunaan dadah tersebut.
Amaran itu susulan pendedahan Paris Jackson baru-baru ini terdapat lubang pada bahagian tengah hidungnya akibat menghidu kokain.
Anak kepada mendiang Michael Jackson yang meraikan lima tahun bebas dadah tahun itu turut mengakui nafasnya kini menghasilkan bunyi seperti ‘wisel’.
Kesan buruk sama turut dialami bekas pelakon EastEnders, Daniella Westbrook, yang sebelum ini mendedahkan kerosakan serius pada hidungnya akibat penyalahgunaan dadah itu.
“Anda tidak perlu menjadi pengguna tegar. Ada pesakit yang mengalami kerosakan teruk walaupun daripada penggunaan rekreasi.
“ Tiada tahap penggunaan yang selamat. Cara terbaik adalah menjauhinya sepenuhnya,” jelas Jacques.










