Pihak berkuasa Singapura gagalkan cubaan seludup 35.7kg tanduk badak sumbu - Utusan Malaysia

Pihak berkuasa Singapura gagalkan cubaan seludup 35.7kg tanduk badak sumbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Cubaan menyeludup 35.7 kilogram tanduk badak sumbu dari Afrika Selatan ke Laos melalui Lapangan Terbang Changi berjaya digagalkan awal bulan ini, sekali gus mencatat rampasan terbesar pernah direkodkan republik itu.

Dalam kenyataan bersama semalam, Lembaga Taman Negara Singapura (NParks) dan pengendali kargo udara SATS memaklumkan sebanyak 20 tanduk badak bernilai kira-kira S$1.13 juta (RM3 juta), selain 150kg bahagian haiwan lain termasuk tulang, gigi dan kuku, dikesan dalam empat bungkusan kargo menuju ke Vientiane pada 8 November.

Rampasan terbaharu itu mengatasi rekod sebelumnya iaitu 34.7kg tanduk badak yang dirampas pada Oktober 2022.

Penemuan itu bermula apabila kakitangan penerimaan kargo SATS, Vengadeswaran Letchumanan, mengesan bau kuat yang mencurigakan ketika memeriksa bungkusan berlabel aksesori perabot dan beliau kemudian memaklumkan kepada pengurus bertugas sebelum syarikat tersebut mengaktifkan pasukan keselamatan untuk pemeriksaan lanjut.

Salah satu bungkusan dibuka dan didapati mengandungi bahagian haiwan, manakala tiga lagi bungkusan menunjukkan kandungan serupa selepas melalui imbasan X-ray.

Siasatan awal mengesahkan 20 tanduk tersebut berasal dari spesies badak sumbu putih di Afrika Selatan, manakala proses mengenal pasti spesies bahagian haiwan lain masih dijalankan.

NParks menegaskan perdagangan antarabangsa tanduk badak adalah dilarang di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) kerana badak sumbu merupakan spesies dilindungi.

“Singapura mengamalkan pendirian sifar toleransi terhadap aktiviti perdagangan haram hidupan liar terancam serta bahagian tubuh mereka,” kata NParks dan SATS.

Menurut kenyataan itu lagi, tanduk-tanduk berkenaan akan dilupuskan mengikut garis panduan CITES bagi menghalang ia kembali memasuki pasaran dan mengekang rantaian bekalan global perdagangan haram tersebut.

Di bawah undang-undang Singapura, kesalahan memperdagang spesies tersenarai CITES Lampiran I tanpa permit sah boleh membawa denda sehingga S$200,000 (RM637,000) bagi setiap spesimen atau penjara hingga lapan tahun, atau kedua-duanya sekali.

Hukuman itu turut terpakai untuk kes transit, import dan eksport spesies dilindungi tanpa permit sah. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN