KAHERAH: Ikhwanul Muslimin pada Rabu menolak perintah eksekutif yang dikeluarkan oleh Rumah Putih untuk meneliti kemungkinan mengklasifikasikan kumpulan itu sebagai organisasi pengganas.
Dalam kenyataan kepada Arabi21, kumpulan itu menuduh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel menekan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) untuk mengambil langkah tersebut.
Kenyataan itu menegaskan mereka menentang perintah eksekutif yang dikeluarkan pada 24 Oktober, menyifatkan tindakan itu sebagai bermotif politik dan hasil tekanan luar dari Israel serta UAE bagi memaksa pentadbiran Presiden Donald Trump membuat keputusan itu.
“Ia bukan kali pertama cadangan sebegini dikaji oleh kerajaan demokrasi, termasuk kerajaan AS, yang sebelum ini menilai dan menyimpulkan bahawa mengklasifikasikan Ikhwanul Muslimin sebagai organisasi pengganas adalah jauh daripada realiti dan tidak disokong oleh sebarang bukti. Fakta tidak berubah,” kata kenyataan itu.
Namun, menurut kumpulan itu, apa yang berubah hanyalah tahap tekanan luar, terutamanya yang dikenakan oleh UAE dan Israel, untuk melaksanakan dasar yang berkhidmat kepada agenda asing, bukan kepentingan rakyat AS.
Trump pada Isnin lalu menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan pentadbirannya meneliti sama ada cawangan-cawangan tertentu Ikhwanul Muslimin di negara seperti Lubnan, Mesir dan Jordan perlu diklasifikasikan sebagai organisasi pengganas asing dan pengganas global yang ditentukan secara khas.
Menurut kenyataan Rumah Putih, tindakan itu bertujuan menangani apa yang digambarkan sebagai rangkaian rentas sempadan kumpulan tersebut, yang didakwa mendorong keganasan dan menggerakkan kempen yang mengganggu kestabilan kepentingan AS serta sekutunya di Asia Barat. -AGENSI










