Perang di Ukraine berisiko 'kekal' jika Eropah tidak tekan Russia - Utusan Malaysia

Perang di Ukraine berisiko ‘kekal’ jika Eropah tidak tekan Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Anders Fogh Rasmussen, memberi amaran Ukraine bakal berdepan perang tanpa penghujung serta kehilangan wilayah secara beransur-ansur sekiranya Eropah gagal meningkatkan tekanan terhadap Russia, termasuk dengan menghantar tentera dan menubuhkan perisai peluru berpandu serta dron di wilayah NATO berhampiran negara terbabit.

Dalam temu bual bersama The Guardian, Rasmussen yang pernah mengetuai NATO dari 2009 hingga 2014 dan juga bekas Perdana Menteri Denmark berkata, sekiranya negara seperti Poland bersetuju menjadi tuan rumah sistem pertahanan udara itu, Moscow akan memahami serangan terhadap negara berkenaan bermakna serangan terhadap seluruh pakatan NATO.

“Kita perlu membantu rakyat Ukraine melindungi diri daripada serangan peluru berpandu dan dron Rusia dengan membina satu ‘perisai udara’ di sekitar Ukraine, yang membolehkan mereka menangkis ancaman tersebut. Negara-negara jiran Ukraine boleh menjadi lokasi sistem pertahanan udara dan peluru berpandu berasaskan NATO,” katanya.

Beliau turut mencadangkan penempatan pasukan perlindungan Eropah di Ukraine sebelum sebarang perjanjian gencatan senjata dimeterai.

“Jika tiada perubahan besar dalam strategi, kita akan berhadapan perang tanpa penghujung. Putin tidak mempunyai sebarang insentif untuk berunding selagi beliau percaya boleh menang di medan perang. Oleh itu, perubahan dalam kecepatan dan cara berfikir amat diperlukan,” tegasnya.

Jelas beliau, jaminan keselamatan kukuh seperti itu akan membantu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, meyakinkan rakyatnya menerima perjanjian damai yang mungkin melibatkan kehilangan sebahagian wilayah.

Rasmussen menekankan perlunya perubahan ketara bagi mengubah cara berfikir Presiden Russia, Vladimir Putin dan antara langkah yang disarankan ialah pembinaan perisai peluru berpandu dan dron untuk Ukraine berpangkalan di Eropah, penempatan sebilangan kecil tentera Eropah di Ukraine, serta pemberian peluru berpandu jarak jauh kepada Ukraine bagi membolehkan mereka menyerang sasaran lebih jauh di dalam wilayah Russia.

Beliau turut menyatakan masih ada ruang untuk membuka semula perbincangan mengenai bekalan peluru berpandu jelajah Tomahawk dari AS kepada Ukraine, sesuatu yang tidak disokong oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sekiranya Jerman sanggup menjadi pencetus pertama dengan membekalkan peluru berpandu Taurus miliknya kepada Ukraine.

“Tindakan itu akan menghantar mesej jelas merentasi Atlantik dan memberi tekanan kepada Rumah Putih. Ia juga selaras dengan kepentingan strategik Jerman untuk memaksa Putin kembali ke meja rundingan. Taurus adalah kuncinya,” ujarnya.

Rasmussen turut mengulas pendekatan semasa Trump yang dianggap tidak konsisten terhadap Ukraine.

Presiden AS itu dilapor berundur daripada rancangan membekalkan Tomahawk, sebaliknya mengumumkan sidang kemuncak kedua bersama Putin, namun akhirnya membatalkannya selepas menuduh pemimpin Russia itu tidak serius mahu berdamai.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×