Perancah buluh, penebat mudah terbakar jadi punca kebakaran

Perancah buluh, penebat mudah terbakar jadi punca kebakaran

PERANCAH buluh yang digunakan dalam kerja pengubahsuaian blok pangsapuri di Kompleks Wang Fuk Court dikatakan menjadi punca kebakaran yang berlaku. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Penggunaan perancah binaan tidak selamat serta bahan penebat yang mudah terbakar semasa kerja-kerja penyelenggaraan dipercayai men­jadi punca kebakaran besar tujuh blok pangsapuri di Hong Kong kelmarin yang meragut 128 nyawa.

Insiden di Kompleks Perumahan Wang Fuk Court itu turut menyebabkan 76 orang cedera termasuk 11 anggota bomba dan lebih 900 penduduk terpaksa mendapatkan perlindungan sementara di pusat pemindahan.

Kompleks itu menempatkan lapan pangsapuri setinggi 31 tingkat dengan kira-kira 2,000 unit kediaman, melibatkan lebih 4,800 penghuni. Ketika kejadian, kawasan tersebut menjalani kerja-kerja pengubahsuaian dan penyelenggaraan.

Superintendan Polis Hong Kong, Eileen Chung berkata, pihaknya mempunyai alasan kukuh pihak yang bertanggungjawab dalam syarikat pembinaan tersebut melakukan kecuaian serius yang menyebabkan kebakaran merebak dengan pantas dan sukar dikawal.

Katanya, polis sudah menahan tiga lelaki daripada syarikat pembinaan berkenaan termasuk dua pengarah dan seorang perunding kejuruteraan .

Menurut laporan media tempatan, polis turut membuat serbuan ke pejabat Prestige Construction and Engineering Company dan merampas beberapa kotak dokumen sebagai bahan bukti.

Polis mendakwa bangunan terbabit ditutup dengan jaring pelindung dan helaian plastik yang dipercayai tidak mematuhi piawaian keselamatan kebakaran.

Kebakaran dipercayai merebak melalui perancah buluh yang dipasang di sekeliling bangunan dan keadaan berangin dipercayai mempercepatkan penyebaran api.

Ramai penduduk menggunakan media sosial untuk mengkritik apa yang mereka lihat sebagai kecuaian dan penjimatan kos sebagai punca kebakaran.

Satu video tular turut menunjukkan beberapa pekerja pembinaan merokok di atas perancah buluh semasa proses pengubahsuaian blok kompleks.

Walaupun perancah buluh biasa digunakan di tapak bina di Hong Kong, kerajaan sebelum ini sudah memulakan usaha mengurangkan penggunaannya secara berperingkat atas faktor keselamatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN