Penutupan kerajaan AS paling lama dalam sejarah berakhir selepas 43 hari - Utusan Malaysia

Penutupan kerajaan AS paling lama dalam sejarah berakhir selepas 43 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kongres Amerika Syarikat (AS) akhirnya menamatkan penutupan kerajaan (shutdown) paling lama dalam sejarah negara itu semalam, selepas 43 hari yang melumpuhkan pentadbiran persekutuan dan menyebabkan ratusan ribu penjawat awam tidak dibayar gaji.

Dewan Perwakilan yang dikuasai Republikan meluluskan pakej perbelanjaan kerajaan yang telah diluluskan Senat, bagi membolehkan jabatan dan agensi persekutuan beroperasi semula.

Pengundian itu dijalankan mengikut garis parti, dengan ramai anggota Demokrat kecewa kerana menganggap kepimpinan mereka beralah kepada pihak lawan.

“Mereka tahu tindakan ini akan menyebabkan kesusahan, dan mereka tetap melakukannya,” kata Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson, dalam ucapan lantang sebelum pengundian, sambil menuduh Demokrat sebagai punca krisis.

Pakej yang akan ditandatangani Presiden Donald Trump malam tadi itu memperuntukkan dana bagi pembinaan ketenteraan, hal ehwal veteran, Jabatan Pertanian serta Kongres hingga musim luruh tahun depan, manakala selebihnya akan dibiayai hingga akhir Januari.

Kira-kira 670,000 penjawat awam yang sebelum ini diberhentikan sementara akan kembali bekerja, manakala jumlah hampir sama yang terus bertugas tanpa bayaran, termasuk lebih 60,000 pengawal trafik udara dan pegawai keselamatan lapangan terbang akan menerima bayaran tertunggak.

Pakej itu turut memulihkan jawatan pekerja persekutuan yang dipecat semasa tempoh penutupan, sekali gus membolehkan operasi penerbangan kembali normal secara beransur-ansur.

Menurut Pejabat Belanjawan Kongres, penutupan kerajaan itu menyebabkan kerugian pertumbuhan ekonomi sebanyak AS$14 bilion (RM65.8 bilion).

Walaupun tinjauan umum menunjukkan rakyat lebih memihak kepada Demokrat sepanjang krisis, penganalisis berpendapat Republikan memperoleh lebih banyak keuntungan politik daripada penamatannya.

Demokrat sebelum ini bertegas tidak akan menyokong pembukaan semula kerajaan kecuali Trump bersetuju melanjutkan kredit cukai era pandemik yang membantu berjuta-juta rakyat mendapatkan insurans kesihatan.

Namun, selepas lebih lima minggu kebuntuan, sekumpulan lapan senator moderat daripada Demokrat beralih arah dan mencapai kompromi dengan Republikan menawarkan undian di Senat mengenai subsidi kesihatan, tetapi tanpa jaminan tindakan lanjut di Dewan Perwakilan.

Langkah itu mencetuskan perpecahan dalaman, dengan ramai anggota Demokrat menganggap ia sebagai kekalahan memalukan.

Bagaimanapun, Ketua Minoriti Dewan, Hakeem Jeffries, menegaskan partinya berjaya “menyorot krisis kesihatan berpunca daripada Republikan” dan akan terus memperjuangkan isu itu menjelang pilihan raya pertengahan penggal 2026.

Namun, di Senat, pemimpin Demokrat, Chuck Schumer, kini berdepan tekanan daripada kumpulan progresif yang menuduhnya gagal menyatukan ahli parti. Beberapa anggota Demokrat di Dewan malah mendesak beliau meletakkan jawatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN