Pentagon pertingkat pembangunan sistem pertahanan Golden Dome

Pentagon pertingkat pembangunan sistem pertahanan Golden Dome

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentagon melangkah ke fasa penting dalam pembangunan sistem pertahanan peluru berpandu Golden Dome selepas Space Force Amerika Syarikat (AS) menganugerahkan kira-kira setengah dozen kontrak bernilai kecil bagi membangunkan beberapa prototaip pemintas yang bersaing, menurut dua sumber dipercayai.

Kontrak tersebut dijangka membuka jalan kepada perjanjian pengeluaran bernilai puluhan bilion dolar pada masa hadapan.

Antara syarikat yang menerima kontrak ialah Northrop Grumman, True Anomaly, Lockheed Martin dan Anduril, kata sumber berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penganugerahan kontrak ini dilihat sebagai langkah utama dalam usaha Pentagon meningkatkan keupayaan mengesan dan memusnahkan peluru berpandu musuh melalui pembangunan pemintas berasaskan angkasa serta sistem sokongan berkaitan.

Nilai sebenar kontrak masih belum diperincikan, namun satu pembentangan Pentagon pada Julai yang dilihat Reuters menunjukkan kos pembangunan prototaip pemintas dianggarkan sekitar AS$120,000 (RM496,063) setiap satu.

Walaupun kontrak itu belum diumumkan secara terbuka, jurucakap Space Force mengesahkan penganugerahan tersebut tetapi enggan menamakan para kontraktor.

Difahamkan, kontrak bernilai kurang daripada AS$9 juta (RM37.19 juta) tidak diwajibkan untuk didedahkan kepada umum.

Penerima kontrak awal ini akan bersaing dalam fasa berikutnya untuk kontrak pengeluaran penuh yang dijangka mencecah puluhan bilion dolar.

Kontrak tersebut membiayai pembangunan prototaip pemintas fasa, iaitu sistem yang direka untuk menembak jatuh peluru berpandu ketika memasuki ruang angkasa, serta pembinaan stesen kawalan tembakan yang menyelaras isyarat satelit bagi membantu pelancaran dan pemanduan pemintas ke sasaran.

Menurut sumber, Northrop Grumman dan Anduril turut menerima kontrak bernilai AS$10 juta (RM41.33 juta) seperti yang tertera dalam pembentangan Pentagon pada Julai.

Setakat ini, senarai penuh syarikat yang memenangi kontrak dalam kedua-dua kumpulan anugerah tersebut belum pernah didedahkan kepada umum.

Kerajaan AS juga meminta para kontraktor membangunkan empat versi pemintas yang berbeza bagi menangani ancaman pada altitud dan kelajuan yang berlainan, namun kontrak untuk model tersebut masih belum dianugerahkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×