ROM: Seorang pekerja yang terperangkap di bawah runtuhan menara bersejarah di tengah ibu kota Itali, akhirnya dikeluarkan oleh pasukan bomba lewat malam Isnin, namun meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kecederaan parah yang dialami.
Mangsa dikenal pasti sebagai Octay Stroici, yang terlibat dalam kerja-kerja pemulihan di Menara Torre dei Conti, struktur zaman pertengahan yang sebahagiannya runtuh semasa kerja pembaikan dijalankan.
“Saya ingin menyampaikan rasa dukacita mendalam bagi pihak diri saya dan kerajaan atas kehilangan tragis pekerja Octay Stroici yang terkorban dalam kejadian runtuhan di Torre dei Conti,” kata Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.
Berita berkaitan:
Gambar di televisyen tempatan menunjukkan pasukan penyelamat menggunakan tangga teleskopik untuk mengangkat mangsa keluar sebelum membawanya ke hospital.
Pada mulanya mangsa dilaporkan masih sedar, namun meninggal dunia tidak lama selepas diselamatkan. Ketua bomba Rom, Adriano De Acutis, memaklumkan operasi penyelamatan amat berisiko kerana struktur bangunan terus melemah dan runtuhan tambahan berlaku semasa misi dijalankan.
Datuk Bandar Rom, Roberto Gualtieri, berkata pekerja tersebut sempat berkomunikasi dengan pasukan penyelamat dan dibekalkan topeng oksigen.
“Operasi ini dijalankan dengan amat berhati-hati bagi mengelakkan runtuhan susulan,” katanya.
Dalam kejadian pada tengah hari itu, tiga pekerja lain berjaya diselamatkan tanpa kecederaan manakala seorang lagi berusia 64 tahun dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal. Tiada anggota bomba dilaporkan cedera.
Menara Torre dei Conti yang dibina pada abad ke-13 oleh Pope Innocent III untuk keluarganya telah beberapa kali mengalami kerosakan besar akibat gempa bumi, termasuk pada tahun 1349.
Bangunan itu ditutup sejak 2007 dan kini sedang menjalani projek pemulihan bernilai 6.9 juta euro (RM35 juta) merangkumi kerja konservasi, pemasangan sistem elektrik dan air, serta pembinaan muzium baharu.
Pihak pendakwa Itali kini menjalankan siasatan berhubung kemungkinan kecuaian dalam projek pemulihan tersebut. Menurut laporan media tempatan, siasatan awal dijalankan bagi mengenal pasti sama ada berlaku pelanggaran keselamatan yang menyebabkan tragedi itu.











