BAITULMUQADDIS: Menteri Hal Ehwal Diaspora Israel, Amichai Chikli, mendakwa Datuk Bandar baharu New York, Zohran Mamdani, sebagai penyokong Hamas serta menggesa masyarakat Yahudi di bandar itu berpindah ke Israel susulan kemenangan besar calon berhaluan kiri tersebut dalam pilihan raya tempatan.
“Bandar yang dahulunya menjadi lambang kebebeasan dunia kini telah menyerahkan kuncinya kepada seorang penyokong Hamas,” tulis Chikli menerusi platform X, merujuk kepada kemenangan Mamdani yang bakal mengangkat beliau sebagai Datuk Bandar Muslim pertama New York pada Januari depan.
Menteri berhaluan kanan itu turut membandingkan pandangan politik Mamdani dengan “pelampau fanatik” yang melancarkan serangan 11 September 2001 di New York dan Washington, yang mengorbankan hampir 3,000 nyawa.
“Pandangan beliau tidak jauh berbeza dengan kumpulan pelampau yang dua dekad lalu membunuh ribuan rakyat Amerika sendiri,” kata Chikli.
Zohran Mamdani, 34, merupakan ahli politik progresif yang berjanji menjadikan New York lebih mampu didiami, dengan tumpuan kepada isu perumahan serta keadilan sosial dan dalam masa yang sama, beliau lantang menentang antisemitisme dan Islamofobia yang turut dihadapinya sejak awal kempen pilihan raya.
Beliau juga dikenali sebagai penyokong kuat perjuangan rakyat Palestin dan pernah menyifatkan Israel sebagai sebuah “rejim apartheid”, selain menuduh operasi ketenteraan di Gaza sebagai satu bentuk pembunuhan beramai-ramai.
Kenyataan itu menimbulkan kemarahan sebahagian komuniti Yahudi di New York, malah Chikli mendakwa kemenangan Mamdani akan mengubah landskap sosial bandar raya tersebut.
Kemenangan Mamdani dianggap luar biasa memandangkan beliau berdepan serangan bertubi-tubi daripada golongan elit perniagaan, media konservatif, serta Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Dalam kempen saat akhir menjelang hari pengundian, Trump mendakwa Mamdani sebagai pembenci Yahudi menerusi platform media sosial miliknya, Truth Social.
Walaupun berdepan serangan peribadi dan kempen berunsur Islamofobia, Mamdani berjaya meraih sokongan besar rakyat New York yang melihat beliau sebagai simbol perubahan dan suara baharu bagi masyarakat marhaen di kota metropolitan itu. -AGENSI










