WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) melanjutkan penangguhan terhadap perintah yang mewajibkan pentadbiran Presiden, Donald Trump membayar bantuan makanan sepanjang penutupan kerajaan.
Keputusan itu dibuat selepas Kongres sedang bergerak ke arah membuka semula kerajaan.
Mahkamah rendah minggu lalu memutuskan kerajaan Trump mesti membiayai sepenuhnya Program Bantuan Pemakanan Tambahan (SNAP) untuk bulan November menjelang hari Jumaat.
Namun, Hakim, Ketanji Brown Jackson mengeluarkan arahan penangguhan pentadbiran terhadap perintah tersebut dan memberi masa tambahan kepada sistem kehakiman untuk meneliti permintaan bagi menahan pembiayaan itu.
Perintah tanpa tandatangan itu melanjutkan penangguhan sehingga Khamis malam, membolehkan pentadbiran Trump mengelak daripada menggunakan dana kecemasan untuk membuat pembayaran bernilai berbilion-bilion dolar kepada negeri-negeri supaya mereka dapat mengagihkan baucar makanan kepada kira-kira 42 juta rakyat AS yang bergantung pada SNAP untuk membeli barangan runcit.
Agensi kerajaan AS telah mula terhenti sejak Kongres gagal meluluskan pembiayaan selepas 30 September, dan kesan penutupan ini semakin dirasai kerana program kebajikan tergendala.
Bagaimanapun, Senat pada Isnin meluluskan rang undang-undang untuk membiayai kerajaan AS sehingga Januari.
Rang undang-undang ini masih memerlukan kelulusan Dewan Perwakilan dan tandatangan Trump sebelum kerajaan dapat dibuka semula.-AFP










