BERLIN: Seorang lelaki Jerman didakwa menggunakan darahnya sendiri untuk melukis simbol swastika pada bangunan dan hampir 50 kereta di sebuah bandar kecil berhampiran Frankfurt.
Pihak berkuasa menerima laporan pada minggu lalu selepas seorang penduduk memaklumkan sebuah kereta diconteng dengan swastika menggunakan cecair berwarna merah.
Menurut jurucakap polis, Thomas Leipold berkata, apabila tiba di lokasi pihaknya mendapati hampir 50 kereta lain turut diconteng dengan cara sama.
Penyiasat menguji bahan tersebut dan mendapati ia merupakan darah manusia.
Polis mengesan sumber darah tersebut sehari kemudian melalui maklumat saksi dan menahan seorang warganegara Romania berusia 31 tahun.
“Suspek masih berada di bawah pengaruh alkohol dan motifnya bersifat peribadi serta bertindak secara tiba-tiba,” kata Leipold.
Menurutnya, suspek mengalami kecederaan ketika ditahan dan luka tersebut dipercayai akibat perbuatan sendiri.
Suspek kini ditempatkan di hospital psikiatri dan identitinya dirahsiakan mengikut peraturan privasi Jerman, menurut Leipold.
Paparan lambang Nazi, termasuk swastika, diharamkan di Jerman.
Lambang yang diharamkan itu, digunakan pada bendera Nazi dan pakaian seragam tentera, kini digunakan semula oleh kumpulan supremasi kulit putih serta neo-Nazi yang mempunyai kebencian serupa terhadap golongan terpinggir, termasuk masyarakat Yahudi.
Swastika Nazi merupakan versi terbalik daripada simbol yang digunakan oleh kumpulan Buddha.









