Kucing peliharaan sering ceroboh rumah jiran, pemilik disaman RM6,016 - Utusan Malaysia

Kucing peliharaan sering ceroboh rumah jiran, pemilik disaman RM6,016

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HÉRAULT: Seekor kucing bernama Rémy kini terpaksa ‘dihukum berkurung’ di rumah selepas pemiliknya didenda mahkamah kerana haiwan peliharaannya itu sering menceroboh kawasan rumah jiran.

Insiden luar biasa itu berlaku di wilayah Hérault, selatan Perancis apabila seorang wanita bernama Dominique, 70 tahun, terkejut menerima notis saman daripada jirannya yang mendakwa kucingnya kerap berkeliaran di halaman rumah mereka.

Dalam aduan yang difailkan, jiran tersebut yang tidak didedahkan identitinya mendakwa Rémy meninggalkan kesan tapak kaki pada dinding rumah, membuang air kecil di atas selimut dan membuang najis di taman.

Mahkamah pada Januari lalu berpihak kepada plaintif dan memerintahkan Dominique membayar denda sebanyak 1,250 euro (RM6,016), selain penalti tambahan sekiranya kucingnya itu kembali melintasi pagar rumah jiran berkenaan.

“Sewaktu menerima keputusan itu, saya terasa seperti dipukul di kepala.

“Sejak keputusan itu, saya terpaksa kurung Rémy di rumah. Dia kini gemuk, jadi agresif, dan saya tidak berani lepaskannya ke taman kerana bimbang dia melompat pagar. Ia ibarat hukuman penjara buat seekor kucing,” katanya.

Dominique turut menegaskan jirannya tidak mempunyai bukti kukuh Rémy ialah punca gangguan tersebut memandangkan terdapat beberapa ekor kucing lain termasuk kucing liar berkeliaran di kawasan berkenaan namun, hakim tetap memutuskan beliau bersalah.

Kes itu bagaimanapun belum berakhir di mana Dominique dijangka dihadapkan semula ke mahkamah Disember ini selepas didakwa Rémy sekali lagi menyeberangi pagar terlarang itu dan sekiranya sabit kesalahan, beliau berdepan denda tambahan 2,000 euro (RM9,627) serta penalti harian 150 euro (RM722).

Kes tersebut turut menarik perhatian pertubuhan hak haiwan di Perancis yang menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai keterlaluan dan menafikan naluri semula jadi kucing yang gemar meneroka persekitaran mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN