BAITULMUQADDIS: Ahli Parlimen Israel meluluskan bacaan pertama rang undang-undang (RUU) kontroversi yang disokong kerajaan bagi mengenakan hukuman mati terhadap pengganas yang membunuh rakyat Israel, dengan 39 undi menyokong dan 16 menentang.
Dua lagi RUU hukuman mati yang dikemukakan oleh ahli Knesset dari parti Likud, Nissim Vaturi, dan Yisrael Beytenu, Oded Forer, turut diluluskan masing-masing dengan keputusan 36-15 dan 37-14.
RUU yang dibawa oleh ahli Knesset parti Otzma Yehudit, Limor Son Har-Melech, menetapkan mahkamah Israel mesti menjatuhkan hukuman mati terhadap pesalah yang melakukan pembunuhan bermotif nasionalisme terhadap rakyat Israel.
Ia turut membenarkan hakim-hakim di mahkamah tentera Tebing Barat menjatuhkan hukuman mati dengan majoriti mudah, berbanding keputusan sebulat suara seperti sebelum ini.
Peruntukan itu juga akan menghapuskan kuasa komander tentera wilayah untuk menukar hukuman tersebut.
Rang undang-undang itu menyatakan ia terpakai kepada mereka yang membunuh rakyat Israel atas dasar perkauman dan dengan tujuan untuk mencederakan Negara Israel serta kebangkitan bangsa Yahudi di tanahnya.
Perkara ini mencetuskan kritikan undang-undang itu hanya akan terpakai kepada warga Arab yang membunuh orang Yahudi dan bukan kepada pengganas Yahudi.
“Undang-undang hukuman mati untuk pengganas ini adalah ekspresi moral dan nasional bagi rakyat yang menolak realiti di mana pembunuh orang Yahudi hidup di penjara sambil menunggu tawaran pertukaran,” kata Har-Melech selepas undian tersebut.
RUU itu kini akan dirujuk kepada jawatankuasa parlimen untuk disemak dan disediakan bagi dua bacaan terakhir sebelum menjadi undang-undang.
Dalam pada itu, Menteri Keselamatan Israel, Ben Gvir berkata, mereka yang membunuh, merogol dan menculik anak-anak kita tidak layak melihat cahaya matahari; hukuman mereka sepatutnya mati. Undang-undang hukuman mati bukan sahaja langkah moral dan adil, tetapi juga penting bagi keselamatan negara.”
Parti pembangkang utama seperti Blue and White serta sebahagian besar Yesh Atid memboikot undian itu, manakala hanya parti Yisrael Beytenu pimpinan Avigdor Liberman yang menyokongnya.










