Ketua penjara Thailand digantung tugas beri layanan istimewa kepada tahanan China

Ketua penjara Thailand digantung tugas beri layanan istimewa kepada tahanan China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand menggantung tugas seorang ketua penjara di Bangkok susulan dakwaan tahanan berprofil tinggi dari China diberikan akses kepada wanita dalam sel khas serta menerima pelbagai kemudahan istimewa, menurut Kementerian Kehakiman negara itu.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Kementerian Kehakiman memaklumkan komander penjara dan setiausahanya serta seorang pegawai kanan jabatan pemulihan digantung tugas bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Menterinya, Rutthapon Naowarat berkata, kes membabitkan pegawai penjara yang didakwa memberi layanan istimewa kepada tahanan warga China itu sedang disiasat berdasarkan bukti yang diperoleh setakat ini.

Siasatan awal melalui pemeriksaan di dalam penjara turut menemui beberapa bentuk salah laku serta barangan terlarang seperti kondom, tembakau dan arak.

“Dua wanita warga China ditemui bersendirian bersama seorang tahanan di dalam sebuah sel yang sedang dibaik pulih untuk dijadikan bilik khas menerima kunjungan pegawai kanan,” katanya menerusi kenyataan itu.

Skandal tersebut tercetus pada minggu lalu selepas media tempatan melaporkan dua wanita warga China dibenarkan masuk ke Penjara Reman Bangkok untuk melawat beberapa tahanan, dipercayai bagi menyediakan khidmat seks, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pihak yang memberi kebenaran tersebut.

Penjara berkenaan menempatkan lebih 4,000 tahanan lelaki yang masih menunggu perbicaraan, termasuk beberapa suspek jenayah berprofil tinggi Thailand dan antara yang pernah ditahan ialah She Zhijiang, seorang warga China didakwa terbabit dalam kegiatan sindiket dan diekstradisi awal bulan ini.

Sel berkenaan dilengkapi meja, sofa dan peti sejuk, kemewahan yang tidak lazim diberikan kepada mana-mana tahanan disamping turut menemui beberapa kotak kondom, kesan cecair badan pada tisu serta tompokan menyerupai air mani, yang kini dihantar untuk analisis forensik.

Walaupun rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipadamkan, siasatan berjaya memperoleh semula video yang menunjukkan dua wanita itu memasuki kawasan penjara.

Rutthapon turut memberitahu media pada Sabtu, akses wanita tersebut dibuat melalui prosedur biasa, bukan laluan rahsia, menandakan kemungkinan penglibatan lebih ramai pegawai.

Menurut kementerian, sekitar 20 pegawai termasuk warden serta kakitangan bawahan dikenal pasti melakukan pelanggaran tatatertib, namun menegaskan tiada pegawai yang didapati menggunakan khidmat seks. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN