ISTANBUL: Laporan forensik mengenai kematian empat sekeluarga warga Turkiye-Jerman yang bercuti di Istanbul mendedahkan mereka berkemungkinan terdedah kepada bahan kimia, lapor media tempatan.
Keluarga berkenaan yang datang bercuti dari Jerman ke bandar terbesar Turkiye itu jatuh sakit minggu lalu selepas menikmati beberapa makanan jalanan popular di kawasan pesisir Ortakoy, berhampiran jambatan merentasi Selat Bosphorus.
Pihak pendakwa raya Turkiye membuka siasatan dengan tumpuan awal kepada kemungkinan keracunan makanan dengan menahan sebanyak 11 individu bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, laporan forensik berdasarkan sampel daripada si ibu dan dua anak pasangan itu menunjukkan kemungkinan kematian berpunca daripada keracunan makanan adalah lebih rendah, lapor akhbar Cumhuriyet.
“Sebaliknya, dipercayai kematian mereka disebabkan oleh keracunan bahan kimia yang berlaku akibat keadaan di hotel tempat mereka menginap,” demikian menurut laporan forensik tersebut.
Media Turkiye sebelum ini melaporkan satu bahan kimia telah disembur di sebuah bilik di tingkat bawah hotel itu bagi membasmi pepijat, dan bahan tersebut dipercayai mungkin memasuki bilik keluarga berkenaan di tingkat satu melalui saluran udara bilik mandi.
Hotel di daerah Fatih berhampiran kawasan bersejarah Istanbul itu dikosongkan pada Sabtu selepas dua lagi tetamu dimasukkan ke hospital dengan simptom sama.
Premis berkenaan ditutup pada Ahad.
Dalam kejadian tersebut, dua kanak-kanak meninggal dunia pada Khamis, diikuti ibu mereka sehari kemudian manakala si bapa yang menerima rawatan rapi akhirnya meninggal dunia pada Isnin.
Laporan forensik itu menyatakan keputusan muktamad hanya akan diperoleh selepas analisis terperinci disiapkan.
Laporan forensik turut menyatakan sampel bahan kimia yang digunakan di hotel berkenaan akan dianalisis oleh Jabatan Kimia Institut Perubatan Forensik Turkiye. -AGENSI










