WASHINGTON: Syarikat milik keluarga Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Trump Organization bakal membangunkan sebuah hotel mewah bertaraf tinggi di Maldives yang merangkumi 80 vila pantai dan vila atas air.
Bekerjasama dengan pemaju hartanah mewah Dar Global, syarikat itu mengumumkan perancangan untuk membangunkan Trump International Hotel Maldives, projek pertama mereka yang dijangka dibuka menjelang akhir 2028.
Terletak hanya 25 minit perjalanan menaiki bot laju dari ibu kota Malé, hotel ini disasarkan sebagai destinasi ultra-mewah yang menawarkan tahap privasi, eksklusiviti dan keselesaan tertinggi kepada pelancong.
Imej konsep yang dikongsi setakat ini memaparkan vila moden di atas air dengan dek luas mengelilingi kolam renang berbentuk lengkung, selain dinding kaca besar yang memberikan pemandangan panorama lautan jernih Maldives.
Anak kepada Donald Trump, Eric Trump dan Donald Trump Jr., merupakan naib presiden eksekutif syarikat berkenaan.
Donald Trump meletakkan jawatan daripada Trump Organization sebelum beliau memegang jawatan presiden buat pertama kali pada 2017.
Eric Trump berkata, pihaknya berbesar hati membawa jenama Trump ke Maldives melalui kerjasama dengan Dar Global, sambil menyatakan projek itu akan menawarkan tahap kemewahan baharu di rantau tersebut.
Beliau turut menyatakan pembangunan ini akan menjadi penanda aras baharu dalam inovasi pelaburan hartanah melalui tokenisasi, menjadikannya projek hospitaliti mewah pertama seumpamanya yang ditokenkan.










