ISKANDAR PUTERI: Suasana sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini, hari ini sedikit beremosi apabila Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi hampir menitiskan air mata pada penghujung ucapannya.
Onn Hafiz mulai sebak apabila menyentuh soal amanah yang bakal dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.
Beliau memohon maaf kepada semua pegawai kanan kerajaan yang mungkin tersinggung, terluka atau terasa hati dengan tutur kata dan tindakannya sepanjang memimpin kerajaan negeri.
Katanya, secara peribadi beliau tidak pernah marah apatah lagi membenci mana-mana individu.
Jelasnya, sebaliknya apa juga desakan atau tuntutan yang dilontarkan bukanlah bertujuan menyusahkan sesiapa tetapi kerana memikul amanah dan tanggungjawab besar untuk membela nasib empat juta rakyat Johor.
“Wallahi, saya hanya mahukan yang terbaik untuk Bangsa Johor. Saya juga terbeban untuk menjawab kepada Allah nanti. Setiap kali saya menerima aduan dan rintihan, sama ada melalui WhatsApp, komen di Facebook atau Instagram, video di TikTok, saya tidak boleh memejamkan mata, memekakkan telinga dan membutakan hati.
“Saya tidak tergamak untuk berkata, ‘ini bukan bidang kuasa saya’ kerana bagi rakyat di bawah sana, siapa lagi yang boleh mereka harapkan?
“Apa yang paling saya takuti adalah membayangkan hari di mana saya bersama semua yang berada di dalam Dewan ini akan berdiri di hadapan Allah dan ditanya tentang amanah dan tanggungjawab kita sebagai pemimpin,” katanya.
Onn Hafiz berkata, akan tiba hari di mana segala pangkat, jawatan dan kedudukan yang dimiliki menjadi saksi terhadap setiap perbuatan.
“Tidak ada sesiapapun dari kalangan kita yang akan terlepas daripada disoal.
“Bagi setiap aduan yang tidak diendahkan, setiap lubang jalan yang terbiar, setiap kemalangan yang berlaku atas kecuaian, setiap projek yang tertangguh, setiap keluarga yang sengsara dan menderita, saya bersama saudara dan saudari perlu menjawab di hadapan Allah,” katanya. – UTUSAN










