Junta Myanmar roboh 150 bangunan dikaitkan pusat scammer - Utusan Malaysia

Junta Myanmar roboh 150 bangunan dikaitkan pusat scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Tentera Myanmar merobohkan hampir 150 bangunan yang menempatkan pelbagai kemudahan mewah termasuk gimnasium, spa dan pusat karaoke.

Menurut laporan The Global New Light of Myanmar, operasi berkenaan dijalankan di kawasan dikenali sebagai KK Park, pusat kegiatan penipuan internet yang sebelum ini didedahkan menempatkan ribuan individu terlibat dalam jenayah siber berskala besar.

Tentera berkata, sebanyak 148 bangunan dikenal pasti dalam kawasan tersebut, termasuk asrama, sebuah hospital empat tingkat dan kompleks karaoke dua tingkat. Setakat ini, 101 bangunan dirobohkan manakala 47 lagi masih dalam proses pemusnahan.

Premis penipuan yang tumbuh pesat di sempadan Myanmar itu menjalankan kegiatan memperdaya mangsa di seluruh dunia melalui sindiket penipuan cinta dan pelaburan yang dianggarkan bernilai berbilion-bilion dolar setiap tahun.

Sebahagian pekerja di pusat tersebut dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia, manakala sebahagian lagi menyertai secara sukarela kerana tergoda dengan tawaran gaji lumayan serta kemudahan mewah yang disediakan oleh sindiket.

Bulan lalu, pihak berkuasa Myanmar melancarkan serbuan besar-besaran di KK Park, menemui lebih 2,000 individu dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan dan menyebabkan kira-kira 1,500 orang melarikan diri ke Thailand.

Penduduk di kedua-dua sisi sempadan turut melaporkan mendengar beberapa letupan sejak operasi itu bermula, namun laporan tersebut belum dapat disahkan oleh pihak bebas.

Menurut penganalisis, tindakan junta Myanmar itu dilihat sebagai usaha terhad dan lebih kepada memaparkan imej bahawa kerajaan tentera serius membanteras jenayah siber, bagi meredakan tekanan antarabangsa tanpa menjejaskan keuntungan kumpulan bersenjata yang menjadi sekutunya.

China, yang merupakan penyokong utama junta Myanmar, dikatakan semakin berang dengan kegiatan penipuan yang menyasarkan warganya sendiri. Bagaimanapun, tindakan terlalu keras boleh menjejaskan sumber kewangan militia yang membantu junta dalam perang saudara sejak rampasan kuasa pada 2021.

Pada Februari lalu, hasil tekanan diplomatik Beijing, lebih 7,000 pekerja sindiket penipuan telah dihantar pulang ke China, manakala Thailand turut memperkenalkan sekatan internet rentas sempadan bagi mengekang kegiatan berkenaan.

Susulan siasatan oleh agensi berita AFP, didapati KK Park masih beroperasi dan menggunakan penerima internet satelit Starlink bagi memintas sekatan akses internet oleh Thailand.

Syarikat induk Starlink, SpaceX, kemudian memaklumkan telah menamatkan lebih 2,500 sambungan terminal satelit di kawasan sekitar pusat-pusat penipuan yang dikenal pasti di Myanmar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN