Jumlah gelandangan di England meningkat mendadak - Utusan Malaysia

Jumlah gelandangan di England meningkat mendadak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Masalah gelandangan di England meningkat dengan ketara sepanjang tahun lalu, dengan pihak berkuasa tempatan bergelut menangani permintaan meningkat serta tekanan kewangan yang berat, menurut laporan baharu oleh pertubuhan amal Crisis, lapor Anadolu Ajansi.

Laporan ‘Homelessness Monitor England 2025’ itu mendapati jumlah individu yang tidur di jalanan meningkat 20 peratus tahun lalu kepada 4,667 orang, hampir dua kali ganda berbanding paras terendah semasa pandemik Covid-19.

Menurut laporan tersebut, lebih separuh daripada golongan gelandangan di London kini bukan warganegara UK, mencerminkan peningkatan permohonan suaka serta usaha menyelesaikan kes tertunggak di ibu negara.

Pada 2024, sebanyak 330,000 isi rumah dinilai oleh pihak berkuasa tempatan sebagai gelandangan atau berisiko menjadi gelandangan. Ini menunjukkan peningkatan empat peratus berbanding tahun sebelumnya dan 21 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Kes gelandangan di London meningkat lebih cepat, dengan peningkatan tujuh peratus dalam kalangan mereka yang berisiko dan 27 peratus dalam kalangan mereka yang sudah menjadi gelandangan.

Pihak berkuasa tempatan turut melaporkan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan bantuan gelandangan.

Kajian itu turut menunjukkan peningkatan kes gelandangan berpunca daripada pengusiran penghuni pusat penempatan suaka yang naik 37 peratus, serta golongan yang keluar dari penjara atau hospital meningkat 22 peratus.

Kes berkaitan penderaan domestik pula meningkat 14 peratus sejak 2021 susulan pelaksanaan perlindungan undang-undang baharu bagi mangsa.

Pada masa sama, keberkesanan sistem bantuan gelandangan dilaporkan semakin merosot, dengan kes yang berjaya mendapatkan penempatan susut daripada 47 peratus pada 2021 kepada 39 peratus pada 2024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×