Jam poket milik penumpang Titanic dijual hampir RM10 juta - Utusan Malaysia

Jam poket milik penumpang Titanic dijual hampir RM10 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sebuah jam poket emas milik seorang penumpang yang terkorban dalam tragedi Titanic dijual pada harga 1.78 juta pound (RM9.6 juta) dalam satu acara lelongan, sekali gus mencatat nilai tertinggi yang pernah dibayar untuk memorabilia berkaitan kapal malang itu.

Jam emas 18 karat jenama Jules Jurgensen milik Isidor Straus yang berusia 67 tahun itu dihadiahkan kepadanya pada ulang tahun kelahirannya yang ke-43 pada tahun 1888.

Rekod jualan terdahulu untuk barangan Titanic dicatatkan tahun lalu apabila sebuah lagi jam poket emas yang diberikan kepada kapten kapal penyelamat lebih 700 penumpang Titanic dijual pada harga 1.56 juta pound (RM8.46 juta).

Straus dilahirkan dalam keluarga berketurunan Yahudi di Otterberg, Bavaria, pada 1845 sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) pada 1854 dan membina kerjayanya hingga menjadi rakan kongsi gedung serbaneka terkenal, Macy’s.

Straus dan isterinya, Ida, adalah antara lebih 1,500 penumpang yang terkorban dalam tenggelamnya Titanic pada 1912, termasuk segelintir penumpang kelas pertama yang tidak terselamat.

Ketika kapal itu mula tenggelam, pasangan tersebut dilaporkan menuju ke bot penyelamat dan ditawarkan tempat duduk kerana faktor usia. Namun Straus menolak selagi lelaki lain belum diselamatkan. Ida pula enggan meninggalkan suaminya, dan pasangan itu kali terakhir dilihat duduk bersebelahan di atas kerusi geladak, menunggu ajal bersama.

Kisah mereka turut digambarkan dalam filem epik Titanic arahan James Cameron pada 1997, menerusi babak yang menunjukkan mereka berpelukan di atas katil ketika kabin mereka dipenuhi air. Jam poket Straus kemudian ditemui semula di lokasi bangkai kapal dan dipulangkan kepada keluarganya.

Jam ini merupakan antara beberapa barangan berkaitan Titanic yang dilelong syarikat Henry Aldridge & Son di Devizes, Wiltshire, pada hujung minggu lalu.

Antara barangan lain yang dijual termasuk sepucuk surat tulisan Ida Straus di atas kertas rasmi Titanic yang mencecah 100,000 pound (RM542,449); senarai penumpang Titanic bernilai 104,000 pound (RM564,164); serta pingat emas yang dianugerahkan kepada kru RMS Carpathia oleh penumpang yang diselamatkan bernilai 86,000 pound (RM466,477).

Secara keseluruhan, lelongan memorabilia Titanic itu merekodkan nilai jualan 3 juta pound (RM16.27 juta)

Lelongan itu, kata pelelong Andrew Aldridge, membuktikan minat yang tidak pernah pudar terhadap kisah Titanic.

“Setiap penumpang dan anak kapal mempunyai cerita tersendiri, dan lebih 113 tahun kemudian kisah itu terus hidup melalui memorabilia ini. Straus dan Ida melambangkan kisah cinta sejati. Ida menolak untuk meninggalkan suami selepas 41 tahun bersama dan harga rekod dunia ini adalah penghormatan terhadap legasi mereka,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN