JAKARTA: Kerajaan Wilayah Jakarta menolak dakwaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menamakan ibu kota Indonesia itu sebagai kawasan metropolitan paling padat di dunia, dengan anggaran populasi mencecah 42 juta orang mengatasi Tokyo buat pertama kali dalam beberapa dekad.
PBB membuat unjuran itu melalui laporan World Urbanization Prospects 2025 yang diterbitkan minggu ini, namun pihak berkuasa Jakarta menjelaskan angka tersebut tidak merujuk kepada jumlah penduduk berdaftar, sebaliknya menggambarkan aktiviti harian di kawasan bandar.
Chico Hakim, Staf Khas Gabenor Jakarta bagi Komunikasi Awam berkata, angka 42 juta itu berpunca daripada penggunaan konsep tahap pembandaran yang mengira jumlah orang yang menggunakan kawasan metropolitan setiap hari, bukan penduduk rasmi.
Menurut definisi populasi rasmi Indonesia, gambaran sebenar jauh berbeza. Berdasarkan kaedah negara yang digunakan dalam semakan World Urbanization Prospects pada 2018, populasi Jakarta pada 2025 dianggarkan sekitar 11 juta meletakkannya di kedudukan ke-30 bandar paling padat di dunia.
Chico berkata, angka PBB itu mencerminkan hakikat Jakarta berfungsi sebagai pusat ekonomi, pendidikan dan pentadbiran bagi jutaan penduduk yang berulang-alik dari kawasan penampan Greater Jakarta, merangkumi Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi.
Setiap hari, jutaan orang masuk ke Jakarta untuk bekerja, bersekolah, mendapatkan rawatan kesihatan, berurusan perniagaan dan pentadbiran. Pergerakan besar-besaran ini menimbulkan gambaran seolah-olah Jakarta memiliki populasi mega yang jauh lebih besar daripada jumlah penduduk berdaftar.
“Pergerakan harian inilah yang membuatkan Jakarta terasa jauh lebih padat berbanding data penduduk rasmi,” katanya.
Dalam laporan terbaharu Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB (UN DESA), Jakarta berada di tangga pertama bagi kawasan metropolitan paling padat di dunia.
Dhaka, ibu negara Bangladesh, berada di tempat kedua dengan hampir 40 juta penduduk, manakala Tokyo yang sekian lama memegang kedudukan teratas jatuh ke tempat ketiga dengan sekitar 33 juta.










