MILAN: Pejabat Pendakwa Raya Milan membuka siasatan berhubung dakwaan beberapa rakyat Itali pernah ke Bosnia-Herzegovina untuk menyertai aktiviti ‘safari penembak hendap’ iaitu membayar sejumlah wang bagi menembak orang awam semasa perang pada awal 1990-an.
Individu terbabit dikatakan membayar jumlah besar untuk menembak orang awam di bandar Sarajevo yang ketika itu dikepung tentera Serbia.
Aduan rasmi mengenai perkara itu difailkan oleh wartawan dan novelis Itali, Ezio Gavazzeni, yang menggambarkan kegiatan tersebut sebagai pemburuan manusia oleh golongan kaya berkemampuan, berjiwa gila senjata, yang membayar untuk membunuh orang awam tidak bersenjata dari kedudukan tentera Serbia di perbukitan sekitar Sarajevo.
Beberapa laporan mendakwa kadar bayaran berbeza dikenakan mengikut sasaran lelaki, wanita atau kanak-kanak dan terdapat lebih 11,000 orang terbunuh sepanjang pengepungan Sarajevo yang berlangsung selama empat tahun.
Ketika itu, Yugoslavia berpecah akibat peperangan, manakala bandar Sarajevo dikepung dan diserang bertubi-tubi oleh tentera Serbia melalui serangan artileri serta tembakan penembak hendap.
Siasatan diketuai oleh pendakwa antikeganasan Itali, Alessandro Gobbis, berdasarkan bahan bukti yang dikumpul Gavazzeni, termasuk keterangan seorang pegawai risikan tentera Bosnia.
Pegawai tersebut mendakwa rakan-rakannya mengetahui tentang aktiviti safari itu pada lewat tahun 1993 dan memaklumkan kepada perisikan tentera Itali, Sismi, pada awal 1994.
Menurut agensi berita Ansa, Sismi kemudian memberi maklum balas beberapa bulan kemudian dengan menyatakan mereka mengetahui mengenai pelancong yang berlepas dari bandar sempadan Itali, Trieste, ke kawasan perbukitan berhampiran Sarajevo dan kegiatan tersebut tamat dalam tempoh dua hingga tiga bulan selepas itu.
Gavazzeni mula meneliti semula isu tersebut selepas menonton filem dokumentari Sarajevo Safari arahan pengarah Slovenia, Miran Zupanic, yang diterbitkan pada 2022 dengan ia mendakwa individu dari beberapa negara, termasuk Itali, Amerika Syarikat (AS) dan Russia, terlibat dalam kegiatan pemburuan manusia itu.
Gavazzeni kemudian menyerahkan hasil siasatannya kepada pihak pendakwa pada Februari lalu dan mendakwa 100 orang dan rakyat Itali membayar sehingga 100,000 euro (RM478,693) untuk menyertai aktiviti tersebut. – AGENSI










