MEXICO CITY: Grecia Quiroz, isteri kepada Datuk Bandar Uruapan, Carlos Manzo, yang dibunuh secara terang-terangan ketika sambutan Hari Orang Mati mengangkat sumpah sebagai penggantinya pada Rabu, dengan tekad meneruskan perjuangan menentang jenayah terancang.
Pelantikan Quiroz disokong sebulat suara oleh Kongres Negeri Michoacan, menjadikannya pengganti rasmi mendiang Manzo di Uruapan, sebuah bandar yang terkenal sebagai pusat pengeluaran avocado di Mexico.
“Hari ini saya datang dengan hati yang hancur kerana mereka telah merampas pasangan hidup saya, bapa kepada anak-anak saya. Tetapi saya juga datang dengan keberanian dan keteguhan yang pernah mendorong beliau untuk bangkit melawan,” kata Quiroz dalam ucapannya semasa majlis angkat sumpah, sambil memegang topi mendiang suaminya sebagai simbol perjuangan mereka.
Manzo, 40, ditembak mati oleh seorang lelaki bertopeng ketika menghadiri festival cahaya lilin pada Sabtu malam. Serangan itu mencetuskan kemarahan nasional kerana Manzo lantang mengkritik kerajaan persekutuan yang didakwanya gagal menangani kartel dadah.
Kematian Manzo mencetuskan gelombang protes di seluruh negeri, termasuk vandalisme di Morelia, ibu negeri Michoacan. Penduduk menuntut keadilan manakala pihak berkuasa telah menahan dua suspek dan berikrar menjalankan siasatan sepenuhnya.
Ketegangan di Michoacan meningkat berikutan insiden keganasan berterusan, termasuk pemerasan, penculikan dan pembunuhan terhadap pengusaha limau dan avocado. Sebelum ini, pada Oktober lalu, seorang pemimpin sektor avocado tempatan, Bernardo Bravo, turut dibunuh.
Quiroz kini akan dilindungi oleh sekurang-kurangnya 14 anggota keselamatan, menurut Ketua Gerakan Topi Bebas, Carlos Bautista. Pemimpin politik Claudia Sheinbaum turut bertemu secara peribadi dengan Quiroz dan adik Manzo, menegaskan bahawa siasatan terhadap pembunuhan itu mesti dijalankan hingga ke penghujungnya.










