JERUSALEM: Israel mungkin melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan apabila memaksa pengusiran 32,000 penduduk Palestin dari tiga kem pelarian di Tebing Barat awal tahun ini, menurut laporan sebuah pertubuhan hak asasi manusia pada Khamis.
Human Rights Watch (HRW) dalam laporannya menegaskan pegawai atasan Israel termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, Menteri Kewangan Bezalel Smotrich dan Menteri Pertahanan Israel Katz wajar disiasat dan didakwa sekiranya didapati bertanggungjawab.
Sementara dunia memberi tumpuan kepada perang Israel-Hamas di Gaza, tentera Israel menyerbu kem pelarian di utara Tebing Barat dan mengusir puluhan ribu Palestin dari rumah mereka pada Januari dan Februari, menjadikannya pengusiran terbesar dalam wilayah itu sejak 1967.
Israel menamakan operasi itu sebagai “Operation Iron Wall”, dengan alasan untuk membanteras keganasan susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Namun berbulan selepas itu, ribuan Palestin masih tidak dapat kembali ke rumah mereka, sementara ada yang kehilangan rumah sepenuhnya akibat dibedil atau dihancurkan tentera Israel.
Menurut HRW, pihak berkuasa Israel tidak memberikan alasan mengapa penduduk kem perlu diusir sepenuhnya, dan tidak membenarkan mereka kembali. T
entera juga didakwa menembak penduduk yang cuba memasuki semula kem, serta gagal menyediakan perlindungan dan bantuan kemanusiaan bagi mereka yang masih dipindahkan.
HRW mendapati, melalui temubual dengan 31 penduduk dari kem pelarian Tulkarem, Nur Shams dan Jenin, bahawa tentera menyerbu rumah, menggeledah harta, dan menyoal siasat penduduk sebelum mengusir mereka.
Analisis imej satelit pula menunjukkan lebih 850 rumah dan bangunan musnah atau rosak teruk.
Pertubuhan itu menegaskan Jeneral Avi Bluth, komander tertinggi Tebing Barat, dan Laksamana Eyal Zamir, ketua tentera Israel, juga wajar disiasat.
HRW menyeru agar sekatan dikenakan ke atas pegawai atasan Israel berikutan tindakan yang dianggap sebagai pembersihan etnik, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Tebing Barat.










