Israel dakwa tahan 50 anggota Hamas rancang serang IDF - Utusan Malaysia

Israel dakwa tahan 50 anggota Hamas rancang serang IDF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULAHAM: Pasukan keselamatan Israel menahan 50 individu dipercayai anggota rangkaian Hamas dalam beberapa operasi terancang di kawasan Baitulaham, Tebing Barat, setelah agensi keselamatan Shin Bet mendakwa kumpulan itu merancang serangan tembakan dalam masa terdekat.

Menurut Shin Bet, penahanan tersebut dilakukan bersama Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dan Polis Israel menerusi sekitar 15 serbuan berasingan dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Beberapa senjata termasuk sepucuk raifal serangan turut dirampas daripada suspek.

Hasil soal siasat mendapati kepimpinan rangkaian Hamas itu merekrut anggota baharu, mendapatkan senjata dan merancang serangan terhadap pasukan keselamatan serta orang awam Israel.

Shin Bet berkata satu daripada sel berkenaan berada pada “peringkat akhir persediaan” untuk melancarkan serangan dalam masa terdekat.

Agensi itu memaklumkan bahawa tangkapan tersebut telah “menggagalkan serangan tembakan dan pengeboman besar” yang berpotensi mengakibatkan korban serius dalam kalangan tentera Israel dan orang awam. Bahan siasatan kini diserahkan kepada Pendakwa Tentera untuk tindakan pendakwaan.

Shin Bet sebelum ini pada Jun lalu mengumumkan lebih 60 anggota Hamas ditahan dalam beberapa bulan sebelumnya, menjadikannya antara operasi pembanterasan rangkaian pengganas terbesar di Tebing Barat dalam beberapa tahun. Sejak 7 Oktober 2023, ribuan penduduk Palestin ditahan di Tebing Barat, sebahagian besarnya dipercayai anggota Hamas.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sekitar 1,000 penduduk Tebing Barat terbunuh sejak tempoh tersebut, namun IDF mendakwa majoriti daripadanya ialah militan bersenjata, perusuh atau mereka yang cuba melakukan serangan.

Dalam tempoh sama, 62 individu termasuk anggota keselamatan Israel terbunuh akibat serangan pengganas, manakala lapan lagi anggota keselamatan maut dalam pertempuran semasa operasi serbuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×