GAZA CITY: Israel didakwa melanggar gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat (AS) sebanyak 497 kali dalam tempoh 44 hari, mengorbankan ratusan penduduk Palestin sejak perjanjian itu berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu.
Daripada jumlah itu, 342 mangsa adalah orang awam, majoritinya terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Pejabat Media Gaza mengecam tindakan Israel yang disifatkan sebagai pelanggaran serius dan sistematik terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta protokol kemanusiaan yang termaktub dalam perjanjian gencatan senjata.
“Sebanyak 27 pelanggaran berlaku hari ini (kelmarin), mengakibatkan 24 syahid dan 87 orang cedera,” kata pejabat itu.
Walaupun perjanjian gencatan masih berjalan, Israel terus menyekat kemasukan bantuan makanan dan perubatan yang amat diperlukan ke dalam wilayah Gaza seperti yang diwajibkan dalam perjanjian itu.
Pada Sabtu, tentera Israel melancarkan serangan udara besar-besaran yang meragut sekurang-kurangnya 24 nyawa, termasuk kanak-kanak, kononnya sebagai tindak balas terhadap serangan seorang pejuang Hamas di zon kuning dalam wilayah Gaza.
Hamas menafikan dakwaan Israel dan menuntut bukti identiti pejuang yang disebutkan. Ahli Biro Politik Hamas, Izzat al-Risheq, menuduh Israel mereka-reka alasan untuk melanggar perjanjian dan kembali melancarkan ‘perang pemusnahan.
Beliau menegaskan Israel adalah pihak yang melanggar perjanjian setiap hari, sambil menolak laporan yang mendakwa Hamas membatalkan gencatan senjata.
Wartawan Al Jazeera di Gaza turut melapor gencatan itu ‘hanya pada nama’.
Pelanggaran berterusan Israel itu turut menyebabkan puluhan keluarga Palestin terkepung di utara Gaza apabila tentera Israel memposisikan semula pasukan mereka lebih jauh ke dalam wilayah tersebut, melepasi garis kuning yang dipersetujui.
Hamas mendakwa Israel menolak sempadan sejauh barat Gaza, sekali gus mengubah kedudukan asal yang termaktub dalam perjanjian gencatan senjata.
Pergerakan itu membolehkan Israel mengekalkan kawalan lebih daripada separuh wilayah Gaza.










