TEHERAN: Iran tidak tergesa-gesa untuk menyambung semula rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung program nuklearnya, kata Menteri Luar, Abbas Araghchi dalam wawancara eksklusif bersama Al Jazeera.
Menurut Araghchi, Tehran bersedia untuk meneruskan rundingan tidak langsung dengan Washington sekiranya AS bersedia berunding dari kedudukan yang setara dan berasaskan kepentingan bersama.
Beliau dalam wawancara yang disiarkan pada Ahad itu turut menegaskan sedang wujud kesepakatan bersama yang semakin berkembang di rantau ini mengenai ancaman Israel.
“AS menetapkan syarat yang tidak munasabah dan tidak adil bagi menyambung semula rundingan termasuk menuntut rundingan secara langsung, penghapusan pengayaan uranium sepenuhnya, serta had terhadap peluru berpandu dan sokongan Iran kepada sekutu serantau. Ini menjadikan rundingan sukar diteruskan,” katanya.
Tambah Araghchi, Iran tidak tergesa-gesa bagi menyambung semula rundingan nuklear tersebut dengan AS.
Kenyataan itu dibuat ketika Iran berdepan tekanan susulan sekatan baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai cabaran ekonomi dalam negara namun, Araghchi percaya dinamik serantau kini semakin memihak kepada Iran.
“Saya sering katakan kepada rakan-rakan bahawa Netanyahu ialah seorang penjenayah perang yang telah melakukan pelbagai kekejaman, tetapi dalam masa yang sama dia berjasa membuktikan kepada seluruh rantau bahawa musuh utama bukan Iran, tetapi Israel,” katanya merujuk kepada Perdana Menteri Israel itu.
Rundingan pusingan keenam antara Teheran dan Washington yang dijadual berlangsung pada pertengahan Jun lalu terhenti selepas Israel melancarkan serangan terhadap kemudahan nuklear Iran, mencetuskan perang selama 12 hari yang mengorbankan lebih 1,000 nyawa dan menyebabkan kerosakan besar terhadap infrastruktur negara itu.
Minggu lalu, laporan media mendedahkan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump telah menghantar mesej baharu kepada Tehran melalui Oman dan diterima oleh Iran menerusi Jurucakap kerajaan, Fatemeh Mohajerani, tetapi enggan mengulas lanjut mengenai kandungannya.
Dalam wawancara sama, Araghchi turut memaklumkan hampir keseluruhan 400 kilogram uranium yang diperkaya sebanyak 60 peratus kini terkubur di bawah runtuhan kemudahan nuklear yang dibom oleh AS dan Israel.
“Kami tidak berhasrat untuk mengeluarkannya sehingga keadaan mengizinkan. Kami sendiri tidak tahu berapa banyak yang masih utuh atau musnah,” jelasnya. -AGENSI










