Iran ikrar bina semula tapak nuklear lebih hebat

Iran ikrar bina semula tapak nuklear lebih hebat

IMEJ satelit menunjukkan gambaran keseluruhan kompleks Loji Pengayaan Bahan Api Fordo (Fordow), kira-kira 30 kilometer ke utara Qom di tengah Iran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran berjanji akan membina semula tapak nuklearnya yang rosak akibat serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) lebih kuat daripada sebelumnya ketika Oman menyeru Teheran dan Washington supaya menyambung semula rundingan diplomatik yang tertangguh.

Presiden AS Donald Trump, sebelum ini mendakwa serangan tersebut telah memusnahkan sepenuhnya program nuklear Iran, namun tahap sebenar kerosakan masih belum diketahui.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, ketika melawat agensi nuklear negara itu menegaskan bahawa Teheran tidak akan berundur daripada matlamatnya.

“Kami akan membina (tapak yang musnah) lebih kuat daripada sebelumnya. Dengan memusnahkan bangunan, kami tidak akan melemah. Saintis kami masih mempunyai kepakaran dan pengetahuan nuklear yang diperlukan,” katanya dalam video yang dimuat naik ke laman web rasminya.

Beliau bagaimanapun tidak menghuraikan lanjut rancangan pembinaan semula tersebut. Pezeshkian pada Februari lalu sebelum serangan berlaku, pernah menyatakan bahawa Iran akan membina semula kemudahan nuklearnya jika diserang.

Pada Jun lalu, Israel melancarkan kempen pengeboman besar-besaran terhadap Iran yang mencetuskan perang selama 12 hari, menyasarkan kemudahan nuklear dan ketenteraan selain kawasan perumahan, dan mengorbankan ramai saintis utama negara itu.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu balistik ke arah beberapa bandar Israel.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata pada Julai lalu bahawa kerosakan akibat serangan itu adalah serius dan teruk selepas Washington mengumumkan gencatan senjata.

Kenyataan Pezeshkian dibuat ketika Oman, yang sering bertindak sebagai perantara antara kedua-dua negara, menggesa agar rundingan semula dimulakan.

“Kami mahu mengembalikan rundingan antara Iran dan AS,” kata Menteri Luar Oman, Badr Albusaidi, pada sidang IISS Manama Dialogue di Bahrain, Sabtu lalu.

Jurucakap kerajaan Iran, Fatemeh Mohajerani, turut mengesahkan bahawa Teheran telah menerima mesej berkaitan usaha menyambung semula diplomasi, namun enggan mengulas lanjut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN