REYKJAVIK: Kerajaan Iceland mengisytiharkan kemungkinan keruntuhan sistem arus utama Lautan Atlantik sebagai ancaman wujud kepada keselamatan negara dan sudah mula merangka pelan kesiapsiagaan menghadapi senario terburuk.
Sistem berkenaan, dikenali sebagai Peredaran Terbalik Meridional Atlantik (AMOC), berfungsi seperti tali sawat raksasa yang menggerakkan air suam dari kawasan tropika ke utara Atlantik.
Arus aliran teluk memainkan peranan utama dalam sistem ini, mengalirkan air suam sepanjang Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) menuju ke utara.
Pergerakan arus ini membantu mengekalkan suhu musim sejuk yang sederhana di Eropah Barat Laut dan Timur Laut AS serta mempengaruhi corak cuaca global termasuk taburan hujan di kawasan tropika.
Namun, peningkatan suhu global yang mempercepatkan pencairan ais Artik dan aliran air tawar dari kepingan ais Greenland ke laut dikhuatiri boleh mengganggu kelancaran sistem tersebut.
Pakar iklim memberi amaran keruntuhan AMOC berpotensi mencetuskan zaman ais moden, dengan suhu musim sejuk di Eropah Utara merosot ke tahap ekstrem, disertai salji dan ais yang jauh lebih tebal daripada biasa.
Sejarah menunjukkan AMOC pernah runtuh sebelum berlakunya zaman ais terakhir kira-kira 12,000 tahun lalu.
“Ini adalah ancaman langsung terhadap daya tahan dan keselamatan negara kami,” kata Menteri Iklim Iceland, Johann Pall Johannsson.
Menurut beliau, ini merupakan kali pertama satu fenomena berkaitan iklim dibawa secara rasmi ke Majlis Keselamatan Negara sebagai potensi ancaman wujud.
Dengan pengiktirafan tersebut, semua kementerian kini diarahkan berada dalam keadaan berjaga-jaga serta menyelaras tindakan bersama disamping sedang menilai bentuk penyelidikan tambahan dan dasar baharu yang perlu dilaksanakan, termasuk pembangunan dasar kesiapsiagaan bencana kebangsaan.-AGENSI










