Hukuman mati untuk pengkhianat negara – Trump

Hukuman mati untuk pengkhianat negara – Trump

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menggesa tindakan tegas termasuk hukuman mati terhadap beberapa ahli Kongres Demokrat yang didakwanya menghasut anggota tentera serta komuniti risikan mengingkari arahan kerajaan.

Kenyataan keras itu dimuat naik menerusi platform Truth Social selepas tular sebuah video memaparkan enam ahli perundangan Demokrat yang pernah berkhidmat dalam ketenteraan dan keselamatan negara.

Trump menuduh kumpulan berkenaan melakukan ‘tingkah laku subversif’ dan menggelar mereka pengkhianat yang wajar ditahan serta dibicarakan.

“Ia dipanggil TINGKAH LAKU SUBVERSIF PADA TAHAP TERTINGGI. Setiap seorang pengkhianat kepada negara ini patut DITANGKAP DAN DIDAKWA,” tulis Trump.

Beliau turut menyiarkan semula beberapa hantaran pengguna lain yang menggesa hukuman gantung, tindakan yang mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan penghasutan keganasan politik.

Tindakan Trump segera mengundang kecaman hebat daripada pemimpin Demokrat di Capitol Hill yang menyifatkannya sebagai cubaan nyata untuk mengapi-apikan keganasan. Malah, beberapa tokoh Republikan sendiri seperti Senator Lindsey Graham dan Rand Paul turut mengakui kenyataan presiden itu melampaui batas.

Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt mempertahankan Trump dengan menafikan beliau menyeru hukuman mati, sebaliknya menuduh ahli Kongres Demokrat menyalahgunakan kredibiliti ketenteraan mereka untuk menggalakkan ketidakpatuhan terhadap ketua komander.

Katanya, mesej yang disampaikan dalam video tersebut berbahaya dan mungkin menyalahi undang-undang.

Enam ahli Demokrat yang tampil dalam video itu, termasuk Senator Elissa Slotkin dan Mark Kelly menegaskan mereka tidak gentar dan hanya menyatakan semula prinsip undang-undang mengenai anggota tentera wajib menolak arahan yang bercanggah dengan undang-undang atau Perlembagaan.

Beberapa langkah keselamatan tambahan diambil termasuk pengiringan polis terhadap Slotkin ketika menghadiri sebuah acara di Washington. Pemimpin Demokrat seperti Hakeem Jeffries turut berhubung dengan Polis Capitol bagi memastikan keselamatan semua ahli Kongres terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN