HONOLULU: Gunung berapi Kilauea di Pulau Besar Hawaii kembali meletus pada Selasa, menghamburkan lava panas setinggi 122 meter.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), aliran lava kali ini kekal tertumpu di kawasan kaldera puncak Kilauea dalam Taman Negara Gunung Berapi Hawaii, sekali gus memastikan tiada kediaman berada dalam ancaman.
Letusan terbaharu itu menandakan episod ke-37 sejak Disember lalu apabila siri letusan semasa mula dikesan.
Aktiviti kali ini didahului percikan lava dan limpahan kecil yang berlaku sejak Jumaat, dengan setiap episod lazimnya bertahan kurang daripada sehari sebelum gunung itu kembali berhenti selama beberapa hari.
Dalam beberapa kejadian sebelum ini, menara lava Kilauea dilaporkan menjulang setinggi bangunan pencakar langit.
Fenomena itu berlaku kerana magma yang kaya gas naik ke permukaan melalui saluran sempit seperti paip, lalu menghasilkan tekanan tinggi yang mencetuskan pancutan luar biasa.
Kilauea terletak di Pulau Hawaii, pulau terbesar dalam kepulauan tersebut, 322 kilometer di selatan Honolulu, bandar utama negeri itu yang terletak di Pulau Oahu.
Gunung itu merupakan antara gunung berapi paling aktif di dunia dan satu daripada enam gunung berapi aktif di Hawaii.











