Guna aset Russia 'jalan terbaik' biayai pinjaman baharu Ukraine - Suruhanjaya Eropah - Utusan Malaysia

Guna aset Russia ‘jalan terbaik’ biayai pinjaman baharu Ukraine – Suruhanjaya Eropah

URSULA VON DER LEYEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen pada Khamis menegaskan penggunaan aset Russia yang dibekukan untuk membiayai pinjaman baharu kepada Ukraine adalah cara paling berkesan, meskipun cadangan itu menerima tentangan daripada Belgium.

Kesemua 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) kini berusaha mencari sumber kewangan bagi membantu Kyiv menampung kekurangan bajet ketika perang Rusia–Ukraine memasuki tahun keempat.

Suruhanjaya Eropah sebelum ini mencadangkan supaya aset bank pusat Russia yang dibekukan di Belgium digunakan bagi menjana pinjaman reparasi bernilai 140 bilion euro (RM673 bilion) untuk Ukraine namun, kerajaan Belgium menolak cadangan itu kerana bimbang akan berdepan tindakan undang-undang daripada Moscow.

“Kami sbekerjasama rapat dengan Belgium dan semua negara anggota bagi mencari pilihan terbaik,” kata von der Leyen ketika berucap di Parlimen Eropah.

Beliau bagaimanapun tetap mempertahankan cadangan penggunaan aset beku tersebut di mana EU memberikan pinjaman kepada Ukraine, yang akan dibayar semula sekiranya Russia membayar pampasan.

“Inilah cara paling berkesan untuk menyokong pertahanan dan ekonomi Ukraine. Dan ia juga mesej paling jelas kepada Rusia bahawa masa bukan memihak kepadanya,” tegasnya.

Von der Leyen turut menggariskan dua pilihan lain sekiranya cadangan utama itu tidak dipersetujui.

Pilihan pertama ialah menggunakan kelonggaran dalam bajet pusat EU untuk meminjam dana di pasaran modal, manakala pilihan kedua ialah negara anggota bersetuju untuk mengumpul dana sendiri secara bersama.

Namun pegawai serta diplomat EU memberi amaran kedua-dua pilihan itu akan membebankan negara anggota dengan kos tambahan pada waktu bajet negara masing-masing berada dalam keadaan tertekan dan menurut mereka, kenyataan von der Leyen itu dilihat sebagai usaha meningkatkan tekanan terhadap Belgium supaya bersetuju menggunakan aset Russia yang dibekukan.

EU menyasarkan untuk memuktamadkan pelan pembiayaan tersebut pada sidang kemuncak ketua-ketua negara dan kerajaan blok itu pada bulan Disember. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×