MAZAR-I-SHARIF: Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh manakala lebih 320 lagi cedera selepas gempa bumi kuat melanda utara Afghanistan awal pagi semalam.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bermagnitud 6.3 itu berlaku pada kedalaman 28 kilometer dengan pusat gempa dikesan berhampiran bandar Mazar-i-Sharif di wilayah Balkh.
Jurucakap Jabatan Kesihatan Balkh, Kamal Khan Zadran, berkata empat mangsa disahkan maut di wilayah berkenaan, manakala hospital utama kini merawat sekurang-kurangnya 120 individu yang cedera.
Di wilayah jiran, Samangan, jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA), Mohammadullah Hamad, memaklumkan lima orang terkorban dan 143 lagi cedera.
“Kebanyakan yang cedera sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan,” katanya.
Saksi melaporkan penduduk Mazar-i-Sharif berlari keluar dari kediaman masing-masing kerana bimbang bangunan runtuh akibat gegaran kuat itu. Wartawan AFP di Kabul, kira-kira 420 kilometer dari pusat gempa, turut melaporkan gegaran dirasai di ibu negara tersebut.
Gempa bumi itu merupakan bencana alam terbaharu menimpa kerajaan Taliban sejak mengambil alih pemerintahan pada 2021.
Negara itu sudah berdepan tiga gempa bumi besar sebelum ini, ketika bantuan antarabangsa yang menjadi tonggak ekonomi Afghanistan semakin berkurangan.
Pada Ogos lalu, gempa bermagnitud 6.0 di timur Afghanistan memusnahkan beberapa perkampungan di lereng gunung dan mengorbankan lebih 2,200 orang. Gempa besar di barat Herat pada 2023 dan di wilayah Nangarhar pada 2022 turut mengorbankan ratusan nyawa serta memusnahkan ribuan rumah.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memberi amaran kadar kebuluran di Afghanistan semakin meningkat, ketika negara itu berdepan krisis kemanusiaan yang diperburuk oleh kemarau, sekatan ekonomi dan pengusiran berjuta-juta rakyat dari Iran serta Pakistan.
Afghanistan yang terletak di kawasan pertembungan plat tektonik Eurasia dan India sering dilanda gempa bumi, khususnya di banjaran Hindu Kush.
Sebahagian besar rumah di negara itu, terutamanya di kawasan luar bandar yang telah lama terjejas akibat peperangan, dibina secara tidak kukuh, menyebabkan kerosakan besar apabila bencana berlaku.










