Enam maut, 750 cedera tornado badai Brazil - Utusan Malaysia

Enam maut, 750 cedera tornado badai Brazil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRASILIA: Sekurang-kurangnya enam orang maut manakala kira-kira 750 cedera apabila sebuah tornado memusnahkan hampir keseluruhan sebuah bandar di selatan Brazil pada Jumaat malam, menurut pihak berkuasa tempatan pada Sabtu.

Puting beliung itu melanda Rio Bonito do Iguacu, sebuah bandar berpenduduk 14,000 di negeri Parana, dengan kelajuan angin mencecah 250 km sejam, memusingkan kereta seperti mainan dan meruntuhkan bangunan, menurut perkhidmatan meteorologi tempatan.

Taufan yang berlaku hanya beberapa minit itu turut disertai hujan batu yang lebat, menyebabkan kerosakan meluas. Gambar dari udara menunjukkan bandar itu hampir musnah sepenuhnya, dengan bangunan ranap dan serpihan berselerak di merata tempat.

Roselei Dalcandon, yang kedainya musnah, berkata, ia memusnahkan segalanya.

Pegawai Pertahanan Awam berkata 90 peratus bandar itu mengalami kerosakan, manakala imej yang tular di media sosial menunjukkan banyak rumah hilang bumbung atau musnah sepenuhnya.

Pasukan penyelamat menelusuri timbunan runtuhan bagi mencari mangsa terselamat atau mayat, dan sebuah pusat perlindungan sementara telah dibuka di bandar berhampiran.

Fernando Schunig, Ketua Agensi Pertahanan Awam Parana, berkata, situasi seperti perang. Kematian lebih mungkin kerana taufan melanda pusat bandar. Apabila fenomena ini berlaku di kawasan bandar, kerosakan adalah besar dan sangat merbahaya.

Gabenor Parana, Ratinho Junior, memaklumkan melalui X pasukan keselamatan dikerahkan, memantau bandar-bandar terjejas oleh ribut kuat itu. Amaran cuaca bahaya turut dikuatkuasakan bagi seluruh negeri Parana serta negeri selatan Santa Catarina dan Rio Grande do Sul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN