Singapura naikkan bonus penjawat awam

Singapura naikkan bonus penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Penjawat awam di Singapura bakal menerima bonus hujung tahun bersamaan 1.3 bulan gaji, dengan pegawai kumpulan rendah turut mendapat bayaran tambahan sekali gus, menurut pengumuman Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD), semalam.

Pegawai dalam gred setara MX15 dan MX16 serta mereka dalam Skim Sokongan Operasi akan menerima bayaran tambahan sekali sebanyak S$600 (RM1,900).

PSD berkata, pembayaran itu mengambil kira unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura sekitar empat peratus pada tahun ini serta garis panduan terbaharu Majlis Gaji Nasional (NWC).

“Penilaian ini mengambil kira prestasi ekonomi Singapura yang lebih baik daripada jangkaan dalam tiga suku pertama tahun ini, serta perkembangan ekonomi global dan domestik,” kata PSD.

Keadaan pasaran buruh juga didapati lebih kukuh daripada yang dijangka, dengan pertambahan guna tenaga lebih pantas berbanding suku sebelumnya, manakala kadar pengangguran dan pemberhentian pekerja kekal rendah dan stabil.

Kerajaan turut mengekalkan bayaran elaun tahunan tidak berpencen bersamaan sebulan gaji, dikenali sebagai bonus bulan ke-13.

Bonus 1.3 bulan itu adalah lebih tinggi berbanding 1.05 bulan pada 2024.

Secara keseluruhan, termasuk bayaran pertengahan tahun sebanyak 0.4 bulan, penjawat awam akan menerima jumlah keseluruhan 1.7 bulan komponen berubah tahunan (AVC), manakala pegawai gred lebih rendah menikmati bayaran tambahan sehingga S$1,000 (RM3,167) tahun ini.

PSD menjelaskan, bayaran kepada pegawai kumpulan rendah adalah selaras dengan cadangan NWC untuk meningkatkan pendapatan pekerja berpendapatan rendah.

“Kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan progresif dalam menentukan AVC untuk penjawat awam,” katanya.

Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cham Hui Fong berkata gerakan buruh serta kesatuan sektor awam menyambut baik pembayaran tersebut, yang disifatkannya sebagai signifikan.

“Termasuk bayaran pertengahan tahun, jumlah penuh AVC ini adalah antara yang tertinggi sejak beberapa tahun kebelakangan. Keputusan ini dicapai selepas rundingan kami dengan PSD,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN