TEL AVIV: Israel berdepan krisis kesihatan mental meruncing apabila melibatkan hampir dua juta penduduk termasuk sejumlah besar anggota tenteranya, susulan perang dua tahun di Gaza.
Menurut laporan Akhbar harian Yedioth Ahronoth, jumlah rakyat Israel yang memerlukan sokongan psikologi daripada kerajaan meningkat secara mendadak, selain peningkatan ketara kes ketagihan dadah serta keruntuhan institusi keluarga dan komuniti.
Menurut laporan itu, meskipun ramai yang menyangka masyarakat Israel sudah sedia berada dalam krisis psikologi akibat peperangan, amaran terbaharu menunjukkan malapetaka sebenar masih belum berlaku.
Pakar dan mangsa trauma yang ditemu bual akhbar berkenaan menegaskan Israel berdepan kekurangan pakar terapi yang kritikal, menyebabkan masalah psikologi paling serius lazimnya muncul selepas pertempuran berakhir disamping memberi amaran generasi akan datang bakal menanggung akibatnya.
Sistem kesihatan mental Israel dilaporkan mengalami krisis berpanjangan yang bertambah buruk sejak perang bermula, dengan masalah kekurangan tenaga kerja, tempoh menunggu terlalu lama dan infrastruktur tidak lagi mampu menampung beban pesakit.
“Sebahagian besar rakyat kami, mereka yang sebelum ini menunjukkan kekuatan dan solidariti kini berasa tertekan serta murung selepas dua tahun perang. Kami melihatnya setiap hari, dan ia semakin jelas,” kata Profesor Merav Roth, pakar psikologi klinikal.
“Pada 2018, satu daripada 10 rakyat Israel memenuhi kriteria ketagihan. Hari ini, angka itu meningkat kepada satu daripada empat. Kenaikan ini sangat menakutkan.” katanya ketika mengulas mengenai peningkatan ketagihan.
Dalam masa sama, insiden bunuh diri melibatkan anggota tentera Israel turut meningkat sejak operasi ketenteraan di Gaza bermula.
Penyiar awam Israel, KAN, mendokumentasikan sebanyak 279 percubaan bunuh diri dalam kalangan anggota tentera dan 36 kematian akibat bunuh diri sejak perang meletus pada Oktober 2023.
Sejak dua tahun lalu, tentera Israel telah membunuh hampir 70,000 penduduk Gaza, majoritinya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 170,900 orang, sementara sebahagian besar wilayah itu musnah menjadi runtuhan. – AGENSI










