AS terus tekan Ukraine terima pelan damai - Utusan Malaysia

AS terus tekan Ukraine terima pelan damai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Amerika Syarikat (AS) didakwa terus menekan Ukraine menerima pelan damai Washington bagi menamatkan perang dengan Russia dalam rundingan yang berlangsung di Geneva pada Ahad.

Menurut seorang pegawai kanan yang enggan dikenali, Washington tidak mengeluarkan ancaman secara langsung untuk menghentikan bantuan sekiranya Ukraine menolak cadangan itu, namun Kyiv sedar kemungkinan tersebut boleh berlaku pada bila-bila masa.

Pelan AS itu yang asalnya mengandungi 28 perkara, antara lain menggesa Ukraine melepaskan wilayah Donetsk dan Lugansk kepada Russia serta mengurangkan saiz angkatan tenteranya, syarat yang dianggap Kyiv sebagai tidak dapat diterima sama sekali.

Rundingan melibatkan pegawai Ukraine, AS dan Eropah di Switzerland pada Ahad bertujuan menghasilkan draf pelan terkini, namun Kremlin semalam menegaskan ia tidak akan menerima sebarang pindaan yang dicadangkan oleh negara-negara Eropah.

Menurut pegawai tersebut, tekanan AS terhadap Ukraine agak berkurangan sepanjang rundingan di Geneva, namun tekanan keseluruhan masih wujud.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Washington dilihat begitu tergesa-gesa untuk mencapai persetujuan, tetapi mengakui semua pihak mahu perang ditamatkan sekiranya terdapat peluang sebenar ke arah itu.

Russia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada Februari 2022, konflik terbesar dan paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua yang mengorbankan puluhan ribu anggota tentera dan orang awam serta memaksa jutaan rakyat Ukraine meninggalkan kediaman masing-masing.

Presiden AS, Donald Trump, pada peringkat awal memberi tempoh sehingga Khamis kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, untuk memberikan maklum balas terhadap draf pertama pelan berkenaan.

Zelensky dalam kenyataannya semalam menyifatkan Ukraine kini berada pada detik kritikal, selepas beliau memberi amaran minggu lalu negaranya berisiko kehilangan maruah ataupun sokongan Washington.

Presiden Russia, Vladimir Putin, sebelum ini menyambut baik draf pertama pelan AS, dengan menyatakan ia boleh menjadi asas kepada sebuah perjanjian.

Sejak pencerobohan bermula, Moscow menguasai kawasan besar di selatan dan timur Ukraine selain menggabungkan lima wilayah termasuk Crimea, yang dirampasnya pada 2014.

Kremlin kini mahu Ukraine mengiktiraf wilayah-wilayah itu serta berundur dari bahagian Donetsk yang masih berada di bawah kawalannya, tuntutan yang dianggap Kyiv sebagai tidak boleh diterima. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN