Data pelancong di UAE berisiko terdedah jika cas telefon di tempat awam - Utusan Malaysia

Data pelancong di UAE berisiko terdedah jika cas telefon di tempat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABU DHABI: Majlis Keselamatan Siber Emiriah Arab Bersatu memberi amaran hampir empat daripada lima pelancong berisiko mendedahkan data peribadi mereka apabila mengecas peranti mudah alih di tempat pengecasan awam.

Dalam satu kenyataan, majlis tersebut berkata penggunaan port yang tidak selamat boleh menyebabkan pencurian data dan kata laluan atau pemasangan perisian hasad pada peranti tanpa pengetahuan pengguna.

Sesetengah tempat pengecasan awam mungkin mengandungi perisian tersembunyi yang mampu mengakses maklumat peribadi melalui serangan pengecasan berniat jahat yang mampu mengeksploitasi protokol pemindahan media atau imej yang akan aktif secara automatik apabila peranti disambungkan.

Majlis itu menjelaskan lagi sebanyak 68 peratus syarikat pernah menjadi sasaran serangan siber yang berpunca daripada port pengecasan yang terkompromi, menyebabkan pelanggaran data korporat dan infrastruktur digital.

Tanda-tanda peranti mungkin telah dikompromi termasuk bateri cepat habis, aplikasi perlahan, kerosakan sistem kerap, dan kemunculan simbol atau mesej yang tidak dikenali.

Bagi mengurangkan risiko, majlis tersebut menasihatkan pelancong supaya membawa pengecas peribadi, mengelak daripada mengecas di stesen pengecasan awam bila boleh, dan menolak sebarang permintaan pemindahan data semasa mengecas.

Ia turut mengesyorkan penggunaan pengesahan dua langkah, ciri keselamatan biometrik, semakan kebenaran aplikasi, serta memastikan tiada akses tidak perlu diberikan kepada foto, mesej atau kenalan.

Majlis itu juga menekankan kepentingan untuk memastikan keselamatan aplikasi yang dipasang, memandangkan sesetengah aplikasi mungkin mengandungi perisian hasad yang mampu mencuri data peribadi atau memantau pengguna, termasuk risiko penipuan kewangan dan pencurian maklumat kad bank atau akaun dalam talian. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN