WASHINGTON: Dua anggota Pengawal Kebangsaan West Virginia kritikal selepas ditembak berhampiran Rumah Putih, lewat Rabu waktu tempatan.
Insiden itu berlaku berdekatan stesen metro Farragut West, ketika bandar raya tersebut menempatkan ribuan anggota tentera susulan arahan pentadbiran Presiden Donald Trump.
Datuk Bandar Washington, Muriel Bowser, mengesahkan dalam sidang media bersama Pengarah FBI, Kash Patel, bahawa kejadian tersebut merupakan satu serangan yang disasarkan.
Menurutnya, seorang suspek menghampiri anggota terlibat sebelum melepaskan tembakan secara tiba-tiba.
Pihak Polis Metropolitan (MPD) memaklumkan suspek ditahan tidak lama selepas kejadian. Suspek turut cedera dalam insiden berbalas tembakan itu dan kini dirawat di hospital, namun masih belum dipastikan pihak mana yang melepaskan tembakan ke arahnya.
Patel menegaskan serangan tersebut akan disiasat sebagai “serangan terhadap pegawai persekutuan”, sambil menambah FBI akan bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Secret Service, DEA, serta pihak berkuasa tempatan kerana insiden itu dianggap ancaman keselamatan negara.
Gabenor West Virginia, Patrick Morrisey, yang pada awalnya mengumumkan kedua-dua mangsa maut, kemudian menarik balik kenyataan itu.
Ketika ini, lebih 2,300 anggota Pengawal Kebangsaan dikerahkan di Washington, termasuk 416 dari West Virginia, menjadikannya kontingen kedua terbesar selepas DC National Guard.
Situasi tegang itu mendorong Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, mengumumkan bahawa Presiden Trump telah mengarahkannya menambah 500 anggota lagi bagi memperkukuh kawalan di ibu negara.
Beberapa bangunan pejabat berhampiran lokasi kejadian diarahkan berkurung, manakala Rumah Putih turut dikenakan sekatan keselamatan.










