CARACAS: Sebuah mahkamah di Venezuela mengenakan hukuman penjara 30 tahun terhadap seorang doktor selepas dia mengkritik kerajaan Presiden Nicolas Maduro menerusi satu mesej audio di WhatsApp, lapor kumpulan hak asasi kepada AFP.
Marggie Orozco, 65, dikenakan hukuman maksimum bagi tuduhan pengkhianatan, menghasut kebencian dan konspirasi, selepas pemimpin komuniti melaporkan mesej berkenaan yang dianggap tidak setia kepada kerajaan.
Kandungan mesej serta penerimanya tidak didedahkan.
Orozco ditahan pada Ogos 2024 di bandar San Juan de Colon ketika Venezuela bergolak susulan kemenangan semula Maduro iaitu keputusan yang dibantah pembangkang serta puluhan negara sebagai tidak sah.
Pertikaian itu mencetuskan protes yang membawa kepada 2,400 tangkapan, namun kebanyakan dibebaskan beberapa bulan kemudian.
Selepas gelombang protes tersebut, Maduro menggesa penyokongnya melaporkan “fasis”, istilah yang sering digunakan terhadap ahli pembangkang.
Menurut NGO hak asasi JEP, Orozco mengalami dua serangan jantung sepanjang tahanan, manakala Foro Penal menganggarkan terdapat kira-kira 882 tahanan politik di penjara Venezuela.










